AKP dan CHP Berunding Untuk Membentuk Kerajaan Campuran

1437749994944

1437749994944

 

Dalam sebuah tinjauan, anjuran Objective Research Center (ORC) yang berpangkalan di Ankara, telah mendedahkan 72% rakyat Turki lebih selesa dengan keputusan pilihanraya sebelum ini.

Meskipun ada yang mengatakan pilihanraya semula bakal diadakan, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) dan delegasi Parti Rakyat Republik (CHP) telah bertemu di Ankara Palace pada Jumaat lalu untuk berunding bagi membentuk kerajaan campuran. Turut dilaporkan, dua orang pegawai tinggi mewakili parti-parti berkenaan telah membincangkan syarat-syarat rundingan tersebut.

Delegasi CHP dijangka untuk menuntut syarat kelima mereka dipersetujui, iaitu mengurangkan kuasa Presiden Turki ke atas perlembagaan negara Turki. Ada yang menjangkakan AKP dan CHP akan bersepakat pada isu-isu kritikal seperti dasar luar negara Turki, proses perdamaian setelah pilihanraya, merapatkan jurang politik dan pengagasan perlembagaan baru. Namun, pemimpin-pemimpin parti pembangkang lain telah menampakkan kesediaan untuk menghadapi pilihanraya musim luruh ini dan mengharapkan rundingan antara AKP dan CHP untuk gagal.

Pada pusingan pertama rundingan, delegasi AKP terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri, Numan Kurtulmuş; Menteri Kebudayaan dan Perlancongan, Ömer Çelik; Menteri Pembangunan, Cevdet Yılmaz; Timbalan AKP Istanbul, Osman Can; dan Timbalan AKP Malatya, Taha Özhan. Delegasi CHP pula diwakili oleh Timbalan Pengerusi, Faik Öztrak; Timbalan Pengerusi Kumpulan, Akif Hamzaçebi; jurucakap parti, Haluk Koç; Timbalan Pengerusi Selin Sayek Böke, Pengerusi CHP, Kemal Kılıçdaroğlu; dan penasihatnya, Rasim Bölücek.

Sementara itu, mantan Pengerusi dan kini Timbalan CHP Antalya, Deniz Baykal, telah menyuarakan bahawa sebarang rundingan adalah sia-sia. Beliau berkata, “Pilihanraya bakal diadakan November ini.” Ketika ditemuramah wartawan semasa melawat cawangan CHP sekitar Turki, Baykal telah memberi komen tentang rundingan antara AKP dan CHP. Yakin bahawa pilihanraya bakal diadakan pada November, beliau berkata, “Parti Gerakan Kebangsaan (MHP) telah menyatakan kedudukannya. Rundingan tersebut tidak bermakna dan hanya lakonan. Pilihanraya bakal diadakan November ini. Yang paling penting bagi kita adalah parti pembangkang tidak menikam diri sendiri.”

Dalam hal ini, tinjauan terkini mencatatkan 90.2% penyokong AKP dan 57.9% penyokong CHP inginkan pilihanraya awal. Memandangkan sokongan rakyat terhadap kerajaan campuran amatlah rendah, parti-parti politik sedang menilai semula semua pilihan-pilihan yang ada. Menteri Çelik sendiri mengakui pada sebuah pertemuan Selasa lalu bahawa rundingan untuk membentuk kerajaan campuran bukanlah jaminan akan terhasilnya kerajaan campuran yang kuat. Tambah beliau, kemungkinan pilihanraya diadakan awal serta terbentuknya kerajaan campuran adalah sama.

Di samping pernyataan Çelik sedemikian, Pengerusi CHP Kemal Kılıçdaroğlu juga sedang bersiap siaga untuk menghadapi pilihanraya awal. Apabila ditanya oleh Yeni Şafak Daily Khamis lalu, sama ada pilihanraya bakal diadakan awal atau tidak, beliau berkata, “Ya.” Tambah beliau, “Memang ada usaha-usaha yang telus untuk membentuk sebuah kerajaan campuran. Cuma, apabila kita menilai semula hal ini secara realistik, terdapat banyak kesukaran.”

Ketika melawat cawangan MHP di Kırıkkale Rabu lalu, Pengerusi MHP, Devlet Bahçeli juga telah mengisyaratkan agar jentera kempen pilihanraya untuk bermula. Dalam ucapannya, Bahçeli berkata, “Kita tidak takut jika pilihanraya diadakan awal. Kita telahpun beri isyarat untuk memulakan (kempen pilihanraya).

Walaupun ura-ura pilihanraya bakal diadakan sangat kuat, dilaporkan CHP dan AKP mempunyai agenda yang sama untuk merangka semula Perlembagaan Turki. Sumber-sumber telah menyatakan sekiranya dua parti besar ini dapat mencapai kata sepakat dan membentuk kerajaan campuran, jurang politik bakal dirapatkan sebanyak 7%.

 

Penterjemah : Wan Asyraf
Sumber : DailySabah

 

Authors

Related posts

*

Top