al-Sisi Bakal Mati Dibunuh – Pegawai Perisik Israel

Abdel Fattah al-Sisi (Sumber: IB Times)

Abdel Fattah al-Sisi (Sumber: IB Times)

Golongan elit dan pengulas Israel berkata rejim Al-Sisi kini dilihat semakin merudum. Mereka turut memberi amaran kepada Israel tentang bahaya yang bakal timbul sekiranya rejim Al-Sisi kalah.

Bekas pegawai perisik Israel, Dr. Ephraim Harari telah meramalkan bahawa bukan sahaja rejim itu akan dijatuhkan, malah turut diramalkan bahawa Sisi akan dibunuh, sama seperti kes pembunuhan yang berlaku ke atas pendakwa raya Hisham Barakat dan bekas presiden Anwar Al-Sadat.

Dalam sebuah kolum akhbar Yisrael Hayoum, Harari menjelaskan bahawa sememangnya wajar bagi Israel untuk berasa bimbang dengan kesan kejatuhan Sisi. Dia turut menerangkan bahawa kegagalan besar Sisi dalam menentang pejuang-pejuang jihad di Sinai berpunca daripada krisis politik dan ekonomi yang sedang melanda negara tersebut.

Harari menekankan bahawa kegagalan ekonomi Sisi telah melepasi ramalan yang paling buruk kerana timbulnya masalah kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan pemuda. Dan Sisi sememangnya hanya bernasib baik kerana ekonominya yang semakin tenat dibantu oleh negara-negara jiran. Tambah beliau lagi, sebanyak 400 kumpulan protes telah dianjurkan untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap penurunan kondisi buruh serta kadar pembayaran gaji yang semakin merosot.

Selain itu, sokongan terhadap Sisi turut berkurang dengan mendadak disebabkan faktor pertembungan dengan penduduk Mesir yang lebih cenderung kepada Islam. Malah bertentangan dengan pemahaman umum berkenaan dengan penerimaan revolusi agama, Harari menyatakan majoriti penduduk Mesir mengamalkan Islam dan menolak revolusi agama yang diperkenalkan oleh Sisi. Mengikut kajian terkini, 75 peratus daripada mereka menyokong pelaksanaan undang-undang Syariah, jelas Harari lagi.

Walaupun beribu-ribu orang telah terbunuh dan tercedera, termasuklah seramai 40,000 orang ahli Ikhwanul Muslimin yang ditahan di mana sejumlah besar pemimpin-pemimpin mereka telah dijatuhi hukuman mati oleh pihak badan kehakiman, namun Harari menegaskan perkara-perkara yang berlaku langsung tidak menandakan bahawa kemenangan menjadi milik Sisi dalam usaha beliau menentang Ikhwanul Muslimin.

Harari melaporkan usaha jahat Sisi yang dilakukan seperti melenyapkan sumber-sumber wacana Islam telah melahirkan semangat jihad. Sisi juga meletakkan tekanan kepada penceramah serta ulama untuk tidak menggunakan fatwa yang boleh menyuntik semangat jihad. Selain itu, beliau menggesa Universiti Al-Azhar Cairo untuk berhenti daripada membawa pemahaman bahawa Islam akan mendapat kemenangan di seluruh dunia.

Dalam konteks yang sama, akhbar Israel Yedeot Aharanot turut memberi amaran berkenaan revolusi menentang Sisi yang bakal meletus berikutan kegagalan beliau dalam peperangan melawan umat Islam.

Sebuah analisis telah dikeluarkan, menyatakan bahawa penduduk Mesir mula mengenal pasti tanda-tanda kegagalan Sisi supaya mereka bersiap sedia dengan langkah-langkah keselamatan. Sisi pada mulanya cuba untuk memperlihatkan dirinya sebagai “pemimpin yang gagah”, tetapi malangnya imej tersebut telah lenyap.

Akhbar tersebut juga mengeluarkan kenyataan berkaitan hubung kait Israel dengan rejim Sisi. Menurut akhbar itu keselamatan persekitaran serantau Israel yang strategik bergantung kepada kerjasama yang ditawarkan oleh rejim Sisi. Maka sekiranya Sisi digulingkan, kedudukan Israel turut berada dalam keadaan bahaya.

Pada masa yang sama, pengulas militari Israel telah mengkritik keras terhadap prestasi tentera Sisi dan kawalan keselamatan serta khidmat perisikannya.

Kebanyakan pengulas yang membincangkan isu serangan yang berlaku di Sinai tertanya-tanya tentang punca kegagalan perisik Mesir dalam usaha menyekat operasi tersebut. Mereka menjangkakan bahawa Wilayah Sinai yang dipercayai bekerjasama dengan tentera ISIS, pasti telah membuat persediaan yang lengkap sebelum memulakan serangan.

Menurut Asaf Jibour, pengulas dari akhbar Micor Rishon, menjelaskan dalam analisisnya bahawa kegagalan yang berpihak kepada Sisi dan tenteranya akan membuatkan kumpulan-kumpulan lawan seperti Wilayah Sinai bangkit dan melancarkan beberapa lagi siri serangan.

 

Diterjemah oleh: Wan Nur Khairunnisa

Sumber: MEM

Authors
Tags

Related posts

*

Top