Analisis Kadar Kenaikan Tol di Malaysia

LATAR-PLUS

kadar-tol-2014

Memahami konsep perjanjian konsesi lebuhraya di Malaysia

Lebuhraya di Malaysia adalah nadi yang menghubungkan kehidupan, di mana terdapat 31 lebuhraya yang telah dibina sehingga kini sejak negara kita mengecapi kemerdekaan. Sekitar 5 minggu yang lepas kita digemparkan dengan berita bahawa kerajaan akan mengkaji semula kadar tol untuk 20 buah lebuhraya untuk menaikkan kadar tol dalam masa yang terdekat setelah ditangguhkan kenaikannya pada bulan November tahun 2014 [1].

Seperti kebanyakan dari kita tahu, hampir 90 peratus lebuh raya di Malaysia dimiliki oleh syarikat swasta dan GLC. Kerajaan telah menganugerahkan konsesi dengan hak eksklusif kepada mereka untukmembina, mengendali dan menyelenggara lebuh raya bagi tempoh konsesi yang dipersetujui. Ini adalah salah satu bentuk Public-Private Partnership yang dipelopori oleh pihak kerajaan sejak zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamed lagi.

Dalam hal ini, timbul persoalan mengapa kerajaan perlu meminta syarikat-syarikat swasta untuk membina lebuh raya di Malaysia? Mengapa kerajaan tidak boleh membina lebuh raya sendiri? Justeru, bagi menerangkan konsep ini dengan lebih lanjut, kita perlu memahami bahawa secara amnya, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membiayai dan membina kemudahan infrastruktur negara. Namun begitu, kerajaan juga mempunyai kekangan dalam isu perbendaharaan negara dan kebiasaannya pembinaan infrastruktur menelan perbelanjaan yang besar. Isu kekangan dalam perbendaharaan negara ini bukanlah perkara baru, Malaysia, seperti kebanyakan negara lain di dunia perlu mengimbangi perbelanjaan perbendaharaan negara mengikut keperluan seperti pembangunan infrastruktur dengan keperluan asas lain seperti subsidi kesihatan dan pendidikan.

Walaupun pembangunan infrastruktur mempunyai kesan positif ke atas ekonomi negara, ianya tidak efisien bagi kerajaan untuk memberi peruntukan yang besar daripada perbendaharaan negara ke arah penyediaan infrastruktur. Namun begitu, dana pembangunan projek-projek infrastruktur yang menelan belanja billion ringgit ini boleh disediakan oleh pihak kerajaan dengan kutipan cukai pada kadar yang lebih tinggi. Tetapi, ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dilakukan oleh kerajaan kerana sudah pasti kenaikan cukai ini akan mendapat tentangan dari rakyat.

Jadi, majoriti negara di dunia ini telah menyedari bahawa pihak kerajaan secara sendirian tidak akan dapat menyediakan peruntukan yang besar bagi menampung kos projek pembinaan infrastruktur. Atas dasar itu, kerajaan membuat tawaran kepada sektor swasta untuk membina lebuhraya di Malaysia. Membina lebuhraya bukanlah tanggungjawab sektor swasta, dan sektor swasta hanya berminat untuk meraih keuntungan dalam menjalankan apa sahaja projek yang berkenaan. Memandangkan sumber pendapatan sektor swasta bukannya dari hasil kutipan cukai, jadi ia tidak mempunyai kekangani dari segi dana seperti yang dihadapi oleh sektor awam.

Masalah yang dihadapi oleh sektor awam dan kelebihan yang dimiliki oleh sektor swasta boleh diselesaikan dengan mematerai sebuah perjanjian kerjasama bagi membolehkan sektor swasta dengan segala sumber yang dimilikinya menceburi industri penyediaan infrastruktur di Malaysia.

Kebanyakan perjanjian konsesi ditandatangani sekitar tahun 90-an. Pada masa itu negara kita sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat dan kerajaan perlu memberi prioriti dana yang ada kepada perkara yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi dengan lebih efisien.

 

Isu semakan semula kadar tol

Saban tahun, kita mendengar cadangan demi cadangan untuk semakan semula kadar tol daripada kerajaan. Timbul persoalan mengapakah kerajaan perlu menyemak semula kadar tol lebuhraya? Apakah yang akan terjadi sekiranya kerajaan tidak menyemak dan tidak menaikkan kadar tol lebuhraya pada sela masa yang telah ditetapkan?

Sewaktu kerajaan menganugerahkan konsesi sesebuah lebuhraya kepada syarikat konsesi, terdapat beberapa perkara yang dibincangkan oleh wakil Majlis Ekonomi dengan syarikat konsesi seperti:

 1. Tempoh konsesi – Tempoh yang diberi oleh kerajaan kepada syarikat untuk mengutip dan menyelenggara lebuhraya.

2. Kadar tol yang dikenakan – Kadar tol yang dipersetujui perlulah mengambil kira pertumbuhan pengguna lebuhraya dan juga tempoh konsesi. Kadar tol juga perlu mengambil kira kadar keuntungan yang sesuai dengan tempoh dan risiko yang telah diambil oleh pihak syarikat konsesi. Pihak syarikat perlu memberi sebab yang kukuh untuk meletakkan kadar tersebut kepada pihak Majlis Ekonomi supaya ia tidak mengaut keuntungan yang banyak dan menindas pengguna.

Untuk sebuah syarikat swasta menerima sesebuah projek, ia harus memastikan pulangan yang bakal diterimanya setimpal dengan risiko yang perlu diambil. Antara risiko yang perlu dihadapi oleh mereka adalah risiko pembinaan, risiko traffic volume growth (pertumbuhan pengguna lebuhraya), interest rate risk, force majeure, dan lain lain risiko.

Dalam pengiraan kadar pulangan yang sesuai, carta aliran tunai yang disediakan oleh pihak syarikat dalam siri rundingan dengan Majlis Ekonomi telah mengambil kira kenaikan kadar tol yang sesuai dan dikira tidak membebankan para pengguna dan akan disemak mengikut sela masa yang telah ditentukan.

Semasa proses semakan dijalankan, wakil Majlis Ekonomi akan meminta pihak syarikat konsesi untuk menyediakan laporan terkini dan proposal yang munasabah untuk menaikkan kadar tol. Laporan tersebut perlulah disertakan sekali dengan kajian trafik di lebuhraya berkenaan. Sekiranya laporan tersebut munasabah dengan kadar kenaikan yang diminta, pihak kerajaan perlu mengumumkan kenaikan kadar tol tersebut. Walaupun pihak kerajaan mengumumkan kenaikan kadar tol tersebut, pihak kerajaan tidak mendapat apa-apa faedah dari kenaikan tol tersebut kecuali kutipan cukai syarikat yang dibayar oleh pemilik konsesi tersebut sahaja.

Sekiranya kerajaan mengabaikan perjanjian tersebut dan tidak membenarkan kenaikan kadar tol, maka pihak kerajaan akan berdepan dengan situasi di mana ia boleh disaman oleh syarikat kerana tidak menepati perjanjian yang telah dimeterai. Investor confidence juga akan berkurangan kerana kerajaan sebagai sebuah entiti yang paling berkuasa di negara tidak mengotakan janjinya dengan pihak syarikat konsesi.

Selain itu, sekiranya kerajaan tidak membenarkan kenaikan kadar tol, terdapat juga situasi yang kita lihat kerap terjadi di mana pihak kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi dengan bayaran tunai atau memanjangkan lagi tempoh konsesi atau kedua-duanya sekali.

 

Jadi adakah wajar tindakan kerajaan menaikkan kadar tol di 20 lebuhraya serentak?

Soalan yang sepatutnya ditanya adalah mengapakah kerajaan menangguhkan kenaikan kesemua kadar tol tersebut dan mengakibatkan kenaikan mendadak untuk kesemua lebuhraya tersebut. Sekiranya kerajaan akur dan membuat kenaikan tol tersebut mengikut sela masa yang telah ditentukan, kemungkinan besar kadar kenaikan tidaklah setinggi kali ini dan tidak terasa terlalu membebankan rakyat.

Kadar kenaikan kali ini terlalu tinggi dan sangat membebankan rakyat kerana ekoran beberapa siri kenaikan harga barang dan servis yang dilakukan oleh kerajaan sejak September tahun lalu. Terkini, pada bulan April, Good and Services Tax (GST) telah mula berkuatkuasa dan menambah beban rakyat. Dengan situasi politik negara yang tidak menentu serta kadar tukaran matawang negara yang makin ditekan dengan US Dollar, ia menambahkan lagi tekanan yang dirasai oleh rakyat.

Kenaikan ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada pengguna lebuhraya tetapi juga kepada harga barang-barang. Lori kontena yang menggunakan lebuhraya yang dikenakan cas tol pada kadar yang baru sudah pasti akan meningkatkan kos pengangkutan dan seterusnya kenaikan harga barangan di pasaran.

 

Ada yang berpendapat bahawa kerajaan berupaya untuk mengawal kenaikan kadar tol kerana kebanyakan pemegang saham syarikat konsesi adalah GLC. Adakah ini benar?

Syarikat konsesi adalah entiti yang berbeza dengan pemegang saham syarikat konsesi, dan senario yang biasa kita lihat berlaku di kebanyakan lebuhraya utama di Malaysia seperti KESAS ini tidak dimiliki secara majoriti oleh pihak GLC. Walaupun KWSP, PNB dan Khazanah adalah pemegang saham terbesar dalam sesetengah syarikat konsesi, harus diingat mengapakah kesemua entiti ini melabur sejumlah wang simpanan rakyat ke dalam syarikat konsesi ini? KWSP dan PNB adalah entiti bisnes yang menjamin pulangan tetap kepada pencarum jadi ia memerlukan sebuah pelaburan yang stabil dan menjamin pulangan yang konsisten seperti lebuhraya.

Pulangan yang sepatutnya diperolehi oleh pemegang saham (KWSP,PNB) ini bergantung kepada projected cashflow yang telah dikira dengan mengambil kira kadar kenaikan tol pada setiap sela masa yang ditetapkan.

 

Muhamad Nur Farhan Muhamad Fadzil

Penganalisis CAPE

 

[1] http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/report-cabinet-to-mull-august-toll-rate-increase-for-16-highways-today

Related posts

*

Top