Apa yang anda perlu tahu tentang BERSIH 4.0?

photo_2015-08-29_22-55-09

Artikel ini menyeru rakyat Malaysia  kembali berfikir dengan pertimbangan matang, rasional dan neraca yang waras. Saya sedikit kecewa melihat sambutan gerakan BERSIH sejak daripada tahun 2006, ketika awal gerakan BERSIH 1.0 ditubuhkan sehinggalah perhimpunan BERSIH 4.0 tahun 2015, sambutan masih lagi hangat dan masih umat Islam kekal dalam kejahilan juga kenaifan percaturan geopolitik kuasa imperial Amerika Syarikat.

Artikel ini juga tiada sedikit pun hasrat menjadi ‘macai’ melindungi kerajaan. Apa yang ingin ditonjolkan di akhir artikel ini adalah agar umat Islam tidak tersepit dalam kerangka fikir kepartian antara kerajaan atau pembangkang dan ingin menanam satu sudut pandang baru dari kaca mata melihat segala isu yang berlaku dalam konteks yang lebih besar iaitu permasalah geopolitik, percaturan kuasa besar dunia, dan penggembelengan dunia ke arah New World Order (NWO)[i]. Ya, entiti NWO inilah yang sedang mencaturkan negara Malaysia dengan memanfaatkan isu integriti kerajaan Malaysia yang sememangnya tidak boleh dinafikan wujud. Persoalannya, bagaimana ia dilakukan?

Bagaimana percaturan permainan kuasa imperial AS ini berlaku?

Color revolution sentiasa menggunakan ramuan yang sama dalam resepinya. Saya permudahkan kepada lima ramuan utama[ii]:

  • Demi hasrat Amerika Syarikat (AS) menjadi sebuah kuasa imperial, maka AS telah menubuhkan beberapa institusi swasta seperti National Endowment of Democracy (NED), International Republican Institute (IRI), National Democratic Institute (NDI) Freedom House, Open Society Institute (OSI) dan International Centre for Non-Violent Conflict (ICNC) yang berfungsi mendanai, melatih, membantu dan memantau gerakan sivil dan NGO yang boleh membawa hasrat pendemokrasian AS dalam negara mereka.
  • Colour revolution boleh berjaya dengan mencatur, melatih dan memberi pendanaan kepada gerakan anak muda, gerakan sivil dan gerakan yang membawa sentimen orang ramai. Dalam masa yang sama gerakan ini akan melaksanakan strategi yang dihasilkan oleh Gene Sharp iaitu Method of Non-Violent action dengan menampilkan NGO yang mampu menghasilkan fenomena logo, warna, dan strategi pemasaran melalui media-media yang juga mendapat dana daripada AS.[iii]
  • Jika dikaji dengan lebih mendalam, AS sentiasa mencaturkan gerakan color revolution ini di negara yang strategik, yang memiliki sumber alam seperti minyak, gas, ataupun boleh dijadikan sebagai pangkalan tentera AS dan berada pada kedudukan geografi yang strategi dalam hal-hal berkaitan ekonomi.
  • Protes akan dilakukan di saat negara sedang menghadapi krisis ataupun mendekati pilihanraya. Niatnya mudah, supaya suasana tegang dan persoalan-persoalan mengenai salah laku dan integriti menekan benak hati rakyat.
  • Objektif protes bukan semata-mata untuk menggerakan massa rakyat, tetapi lebih tertumpu menghasilkan sikap ragu-ragu ke atas rejim pemerintah supaya wujud persepsi tidak percaya pada rakyat, penjawat awam seperti polis, SPRM, dan pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dalam pengurusan negara.

Kelima-lima perkara ini wujud pada gerakan BERSIH. Percaya ataupun tidak sepanjang usia BERSIH daripada tahun 2006, kita boleh mengenal pasti kesemua perkara ini tersusun dalam gerakan mereka

 

Bersih 1.0

Gambar 1.0: Ambiga bekas pengerusi BERSIH mengaku menerima dana NDI dan OSI (The Malaysian Insider 27 Jun 2011)

 

Bersih comment

 

Gambar 2.0: Maria Chin Abdullah mengaku menerima dana daripada NDI dan OSI (Malaysia Today 1 Ogos 2015)[iv]

Pada 27 Jun 2011, portal The Malaysian Insider telah memetik kenyataan bekas pengerusi BERSIH 3.0, Ambiga Sreenevesan yang gerakan BERSIH telah menerima dana NDI dan Open Society Institution (OSI) yang dimiliki penyangak mata wang George Soros. Kenyataan yang sama diulangi pengerusi BERSIH 4.0 iaitu Maria Chin Abdullah pada 1 August 2015 dalam portal Malaysia Today bahawa BERSIH 4.0 sekali lagi menerima dana daripada NDI dan OSI dan menafikan penerimaan dana daripada NED. Kenyataan Maria ini perlu dilihat dengan lebih terperinci. Jika dikaji dengan lebih lanjut maka kita akan ketahui bahawa NDI adalah penerima dana dan projek daripada NED. NED turut sama mendanai IRI dan CIPE yang kedua-duanya pencatur di rantau Asia Tenggara. Alen Weinstein, antara pengasas NED pernah mengeluarkan kenyataan “A lot of what we (NED) do today was done covertly 25 years ago by the CIA.”[v] Ya. NED, NDI, IRI, OSI, CIPE semuanya sedang meneruskan misi sulit yang ‘terbuka’ di Malaysia ini. Memang perlu diakui di negara-negara yang dimasuki oleh NED, sememangnya negara itu pasti akan mempunyai konflik, tidak aman dan akhirnya akan tercetus color revolution.

Bukan itu sahaja, sejak daripada tahun 2006 lagi gerakan BERSIH telah menerima latihan yang intensif daripada NDI dalam menggerakan massa untuk menghasilkan color revolution ini. Malangnya, maklumat tersebut telah dipadamkan daripada portal NDI sendiri.[vi]

Modus operandi BERSIH adalah dengan memilih masa yang sesuai dan kritikal bagi negara Malaysia ini. Kita boleh lihat, BERSIH 1.0 dilakukan sebagai prototaip demonstrasi awal, BERSIH 2.0 dianjurkan pula sewaktu memuncak isu Lynas, BERSIH 3.0 dibuat di ambang Malaysia menghadapi PRU 13 dan BERSIH 4.0 pula pada ketika tercetusnya isu 1MDB dan pendedahan skandal ketirisan pemerintah iaitu Dato’ Seri Najib Razak sendiri.

yellow-occupy-a

Gambar 3.0: Penyokong Umbrella Revolution di Hong Kong

Adakah kita boleh mengharapkan kuasa asing untuk mengubah kerajaan yang korup kepada kerajaan yang bersih?

Jawapan mudah adalah TIDAK. Kuasa asing tidak pernah ikhlas dalam membantu negara lain menjadi lebih baik. Jika diperhatikan ketika empayar kesultanan Melayu sebelum ini, Tanah Melayu tergadai juga disebabkan oleh konflik antara golongan elit Sultan yang kemudiannya mengundang campur tangan kuasa asing. Sejarah pasti akan berulang jika kita membuat kesilapan yang sama seperti dahulu.

Negara-negara lain juga tidak terkecuali dalam menerima nasib yang buruk. Apabila AS melalui NED melabuhkan hasrat mereka pada negara-negara lain, maka kerosakan yang sama terjadi. Lihat sahaja bagaimana percaturan revolusi ini seawal tahun 1974 di Portugal melalui revolusi Carnation sehinggalah Revolusi Payung di Hong Kong pada tahun 2014, AS telah mencaturkan lebih daripada 17 revolusi serata dunia demi kepentingan kuasa AS. Kini, AS menggencarkan lagi usaha mereka pada tahun 2015 dengan mewujudkan revolusi di Kyrgyzstan melalui Richard Miles (Father of color revolution), Armenia melalui Victor Nuland dan Uzbekistan melalui Pamela Spratlen. Kesemua mereka hadir sebagai duta AS.[vii] Tidak ketinggalan juga di Myanmar, Macedonia, Ecuador, Russia dan Hong kong yang diberi perhatian dalam misi Pivot to Asia. Dalam hal ini, lebih mustahak untuk kita perhatikan apakah kesan revolusi di negara-negara pasca revolusi ini. Itu soalan yang lebih kritikal!

Di Macedonia, color revolution diwujudkan bukan untuk membumikan demokrasi tetapi untuk mendapatkan sumber paip gas asli ke negara Eropah daripada Russia. Di Georgia pula, hasil daripada Revolusi Oren pada tahun 2004, Georgia telah kehilangan dua wilayah iaitu Ossetia Selatan dan Abkhazia. Di Tunisia pula seusai Arab Spring, negara tersebut hampir dua tahun tiada presiden tetap. Di Nepal, mereka yang beragama hindu terpaksa akur dengan konsep negara sekular walaupun 80% menginginkan republik hindu, termasuklah jatuhnya takhta Raja dan terbinanya empangan penjanaan kuasa eletrik yang menghapuskan ekosistem di wilayah Bhutan. Bukan itu sahaja, US special force bahkan telah membina Stesen Radioisotope Thermoelectric Generator (RTG) di kaki gunung Everest di bahagian Tibet dan utara Nanda Devi bagi mencari Plutonium bagi tujuan tenaga dan senjata nuklear.[viii] Apa pula yang AS harapkan di Malaysia?

Apa sebenarnya AS inginkan daripada gerakan BERSIH di Malaysia?

Secara peribadi, saya lebih gemar untuk melontar persoalan ini kepada para demonstran jalanan. Hal ini kerana merekalah yang telah berhempas pulas di jalanan sambil disimbahi terik matahari. Sewajarnya mereka tahu apa yang mereka lakukan. Namun begitu, saya yakin kebanyakan mereka jauh sekali sedar akan hasrat kuasa AS untuk mendapatkan pemimpin yang boleh menuruti kehendak AS, melaksanakan pendemokrasian liberal di Malaysia dan yang lebih penting adalah kesetiaan pimpinan negara dalam melaksanakan Rebalancing policy AS dalam membendung kuasa Russia dan China di Asia Tenggara. Rebalancing policy juga berhasrat melakukan penjajahan ekonomi melalui perdangan (TPPA), menempatkan pelabuhan tentera AS di Asia Tenggara, memudahkan pelaburan AS di Malaysia dan membina jaringan negara demokrasi yang kukuh di bawah hegemoni AS.

Kesimpulan

Bagi mereka yang sayang akan negara ini, amatlah wajar mereka kembali bermuhasabah, adakah mereka sebenarnya ingin mengulangi sejarah lama dengan menjual negara ini kepada kuasa asing? Penjajahan gaya baru pasti wujud dan penguasaan New World Order tidak pernah lekang dalam mencaturkan hegemoni mereka. Sejarah telah banyak mengajar kita. Sebelum kita turun ke jalanan, buatlah sedikit kajian. Jangan sekadar terikut-ikut dengan sentimen. Iya, kita mungkin marahkan pemerintah kerana tidak telus, dan tidak dapat mentadbir negara dengan baik, tapi adakah dengan menjemput kuasa asing dalam mencaturkan politik kita?

Aiman Faudzi
Penganalisis IRIS

 

Rujukan

[i] http://www.globalresearch.ca/an-imperial-strategy-for-a-new-world-order-the-origins-of-world-war-iii/15686

[ii] http://www.globalresearch.ca/colored-revolutions-a-new-form-of-regime-change-made-in-the-usa/27061

[iii] Gene Sharp. 1990. The Role of Power in Non Violent Struggle. United States of America: The Albert Einstein Institute.

[iv] http://www.malaysia-today.net/little-white-lies-and-bersih/

[v] Blum, W. 2000. Rogue State: A Guide to The World’s Only Superpower. Ed. Ke-3. Monroe: Common Courage Press.

[vi] http://landdestroyer.blogspot.com/2011/07/malaysiasbersihfacadeofclean.html

[vii] http://www.globalresearch.ca/russia-under-attack/5438194

[viii] http://www.globalresearch.ca/twards-a-colored-revolution-in-nepal-foreign-interference-triggers-political-and-social-chaos/5307747

Authors

Related posts

One Comment;

*

Top