Apakah Hubungan Qatar, Ikhwanul Muslimin(IM) & Hamas ?

Qatar-Hamas-Ikhwan menjadi tumpuan di rantau arab ketika ini.

Hubungan Qatar & Ikhwan

1) Qatar mula menemui minyak pada awal tahun 1930an dan mula mengeksport minyak pada tahun 1940. Hasil dari pembangunan ekonomi ini Qatar mula membangunkan negara secara agresif. Ketika awal proses pembangunan Qatar, Qatar lebih menumpukkan pada sistem pendidikan. Tetapi Qatar memerlukan modal insan kerana Qatar tidak pernah melakukan pelaburan dalam sistem pendidikan. Qatar memerlukan pakar-pakar untuk membangunkan negara.

2) Pemimpin Ikhwanul Muslimin dari Mesir dan United Arab Emirates(UAE) memainkan peranan yang kritikal didalam pembangunan sistem pendidikan Qatar. Abdul Baqi’ Saqr telah dilantik pengarah pendidikan pertama pada tahun 1954 setelah tiba dari Mesir. Dengan lantikan beliau sebagai pengarah pendidikan, ramai ahli Ikhwan dari luar negara yang bekerja sebagai guru menyertai beliau datang ke Doha dan membangunkan sistem pendidikan Qatar. Izz al Din Ibrahim dari UAE juga merupakan diantara jawatankuasa penasihat Qatar Faculty Of Islamic Studies. Abdul Muaz al-Sattar dilantik menjadi pengarah Islamic Science di kementerian pendidikan. Dr. Kemal Naji dari Mesir pula telah menjadi pengarah pendidikan pada tahun 1964 sehingga 1979. Andrew Hammond menggelar Qatar sebagai “mini-ikhwanistan”

3) Qatar telah meletakkan syarat bahawa mereka akan menyokong ikhwan dengan syarat ikhwan tidak melawan regim Qatar. Ketika berlaku reformasi pada tahun 1990an di Qatar, IM mengambil keputusan untuk tidak bersuara secara vokal kerana IM menghadapi tekanan di rantau arab. IM tidak mahu mengambil risiko untuk merosakkan hubungan mereka dengan Qatar.

4) Media al-jazeera yang merupakan antara media paling berpengaruh di dunia dan dunia arab yang didanai oleh Qatar menjadi pentas pemimpin dan ulama’ IM untuk menyuarakan pandangan dan menyebarkan idea mereka sekaligus menjadikan Al-Jazeera berharga buat IM. Penting bagi IM untuk menjaga hubungan dengan Qatar bagi terus mendapat kelebihan ini.

5) Antara sebab IM memilih Qatar sebagai tempat perlindungan adalah kerana Qatar mengamalkan dasar terbuka serta mempunyai kestabilan politik & ekonomi berbanding dengan negara arab lain dan juga Qatar memerlukan modal insan bagi pembangunan pendidikan negara mereka. Pimpinan dan ahli IM menghadapi tekanan, diseksa, ditangkap atau dibunuh di negara seperti Mesir, Syria, Iraq, Jordan dan mereka diharamkan di Saudi Arabia dan United Arab Emirates (UAE). Atas sebab itu, Qatar menjadi destinasi terbaik untuk mereka mendapatkan perlindungan.

Hubungan Qatar & Hamas

1) Hamas memerlukan external patron kerana keadaan kewangan yang sangat terhad di Gaza. Kerana itu Hamas mencari dana kewangan dari negara lain.

2) Menurut kenyataan Khalid Mesh’al, Hamas dan Qatar telah mula bekerjasama semenjak awal tahun 1990an ketika itu Sheikh Hamad masih Putera Raja Qatar.

3) Dalam satu temuramah, Khalid Mesh’al telah berkata ” Terdapat kawasan yang lebih selamat dari yang lain, saya telah menghadkan pilihan saya kepada Doha dan Damascus. Saya berasa tenang di Doha dan Damascus.”

4) Qatar menyalurkan kewangan terus kepada Hamas. Pada Januari 2006, Qatar telah memberikan sebanyak $50 Million kepada kerajaan Hamas di Gaza dan $10 Million kepada Hamas pada tahun 2009. Ibtimes UK pada tarikh 28 Februari 2012 melaporkan, Qatar bersetuju memberikan $250 Million kepada kerajaan Hamas untuk pembangunan infrastruktur dan pembangunan Gaza.

5) Senator John Kerry mengkritik Qatar di dalam ucapannya di Brookings Institute dengan berkata “Qatar tidak boleh berterusan menjadi sahabat Amerika Syarikat pada hari isnin dan menghantar duit ke Hamas pada hari Selasa.”

6) Dalam satu laporan​ Financial Times pada Nov. 30, 2011 tentang “Why we should not fear Hamas”, Sheikh Hamad bin Jasim berkata ” Kita tidak patut takut kepada mereka, mari kita bekerjasama dengan mereka. Kita tidak patut ada masalah dengan mereka yang bergerak didalam norma undang-undang antarabangsa, mendapat kuasa dan menentang pengganas”

7) Sokongan Qatar kepada Hamas datang bersyarat. Hamas tidak akan melakukan aktiviti yang boleh menggugat kestabilan regim Qatar. Qatar juga bertindak sebagai mediator dalam konflik Hamas-Israel. Hubungan Qatar-Hamas ini penting bagi diplomasi dengan negara haram israel ketika konflik berlaku bagi menjamin keselamatan penduduk palestin.

Amirul Asyraf
Penganalisis IRIS Institute

Authors

*

Top