Bajet 2018 menindas rakyat?

PANDANGAN TERHADAP BAJET 2018

Pertama-tamanya saya menyambut baik pembentangan bajet 2018 oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Abdul Razak pada 27 Oktober lepas di mana ia dikatakan sebagai ibu segala bajet. Seperti ramai yang maklum, terdapat 8 pe-tunjang yang dijadikan fokus utama oleh Perdana Menteri di mana setiap pe-tunjang tersebut mensasarkan kepada segenap masyarakat dan kelompok sasaran seperti golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40).

Memandangkan tahun 2018 adalah tahun Pilihan Raya Umum (PRU), bajet ini boleh dikatakan sebagai bajet bersempena dengan PRU ke 14, tanpa menafikan polisi yang cuba diketengahkan dalam menangani cabaran ekonomi semasa serta kelompok-kelompok yang sebelum ini tidak nampak kepentingan di dalam bajet seperti golongan M40 dan golongan wanita, kini turut menjadi sasaran bajet 2018 kali ini.

Jajaran RMK-11 dan Bajet 2018

Secara idealnya, pembentangan bajet saban tahun sebenarnya perlu dilihat dalam skop yang lebih besar iaitu jajarannya dengan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di mana antara teras RMK11 adalah seperti berikut:

  • Memperkukuh Inklusiviti Ke Arah Masyarakat yang Saksama
  • Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat
  • Meningkatkan Pembangunan Modal Insan untuk Negara Maju
  • Kemampanan dan Daya Tahan Pembangunan Melalui Pertumbuhan Hijau
  • Memperkukuh Infrastruktur bagi Menyokong Pertumbuhan Ekonomi
  • Merekayasa Pertumbuhan Ekonomi untuk Peningkatan Kemakmuran

Saya tidak akan mengupas kesemua teras RMK11 ini dan kaitannya dengan bajet 2018 tetapi hanya sebahagian sahaja yang akan saya sentuh dalam artikel kali ini.

Kos Sara Hidup dan Kualiti Hidup Rakyat

Bagaimanakah kita melihat bajet sebagai alat untuk mencapai teras RMK11? Sebagai contoh, teras kedua RMK11 berkenaan dengan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Antara kayu ukur yang boleh digunakan untuk menilai sejauh mana kesejahteraan rakyat adalah kos sara hidup dan peningkatan kualiti hidup rakyat. Di dalam bajet 2018 ada beberapa perkara yang diperkenalkan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat seperti kebenaran untuk wanita mengandung dan pasangan pulang awal dari tempat kerja [bersyarat] dan penerusan pemberian BR1M untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Sungguhpun pengawalan kos sara hidup atau inflasi ini adalah di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM), tetapi ada mekanisme yang boleh digunakan oleh pihak kerajaan dalam mengawal kenaikan harga barang seperti meluaskan lagi skim Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) dan membuat promosi secara besar-besaran dalam memperkenalkan KR1M ini supaya rakyat sehingga ke akar umbi tahu akan kewujudan skim ini.

Bagi menjimatkan kos, pihak kerajaan boleh bekerjasama dengan kedai-kedai runcit terpilih dan membuat proses penjenamaan semula sahaja di mana kos-kos berkaitan dengan pengubahsuaian boleh dijimatkan. Kerajaan juga secara tidak langsung membantu pengusaha kedai runcit dalam mengembangkan perniagaan mereka.  Setakat ini pemerhatian saya projek KR1M ini akan dibuat dengan kerjasama dengan syarikat Mydin Holdings, mungkin ada rasional di sebalik kerjasama ini kerana saiz perusahaan Mydin yang besar membolehkan ia menyerap kos-kos tertentu dan memberi semula kepada rakyat dengan lebih efisyen.

Kualiti hidup rakyat boleh juga diukur dengan beberapa cara antaranya adalah kualiti masa bersama keluarga. Tidak lama sebelum ini kita diberitahu oleh salah seorang menteri untuk tidak bergantung dengan hanya satu pekerjaan tetapi cuba menambah pendapatan melalui pekerjaan lain secara part time seperti menjadi pemandu UBER dan GRAB dan sebagainya.

Dari satu sudut, memang benar apa yang dikatakan oleh menteri tersebut, kenaikan kos sara hidup boleh diatasi dengan menambah pendapatan seperti yang disarankan, tetapi apakah impaknya kepada masyarakat dan negara?

Antara kesan kepada masyarakat adalah kurangnya masa untuk bersama dengan keluarga. Ini adalah kesan klasik dan selalu menjadi perbincangan para akademik di mana induk keluarga yang sibuk mencari pendapatan kebiasaannya menyebabkan anak-anak akan cenderung memilih rakan yang salah dan akhirnya terlibat dengan gejala sosial.

Jadi pihak kerajaan boleh mengkaji semula sektor pasaran tenaga kerja dan mencari solusi kepada masalah kenaikan gaji yang tidak setara dengan kenaikan kadar inflasi supaya rakyat tidak perlu untuk membuat dua kerja demi menampung kos sara hidup yang makin meningkat.

 

 

Pemilikan Rumah Mampu Milik di Kalangan Rakyat

Cuba kita lihat contoh lain, isu pemilikan rumah kos rendah dan sederhana. Kajian menunjukkan lebih 900,000 buah rumah mampu milik diperlukan di seluruh Malaysia dan kerajaan telahpun memperkenalkan beberapa insentif dalam menyelesaikan isu ini dengan skim-skim seperti PR1MA, Mydeposit, PPA1M, RMR1M, dan lain-lain lagi seperti di bawah. Tetapi sejauh mana keberkesanan skim ini dalam menyelesaikan isu rumah mampu milik ini?

Pada pendapat saya, inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam isu rumah mampu milik ini sangat bagus, tetapi keberkesanannya haruslah dikaji semula. Sebagai contoh, PR1MA yang diperkenalkan sejak lima tahun lepas sepatutnya berjaya membina 625,000 buah rumah mampu milik namun sehingga ke hari ini tidak sampai 50,000 buah rumah PR1MA yang telah dibina walaupun bajet telah diberikan saban tahun.

Mekanisma PR1MA bagi pendapat saya harus dikaji semula kerana ia jelas tidak mampu menyelesaikan masalah rumah mampu milik. Pihak kerajaan pusat disarankan untuk mengkaji model Rumah Selangorku di mana kerjasama antara kerajaan negeri dan pemaju membolehkan rumah mampu milik tersebut dijual dengan harga yang benar-benar mampu milik.

Tetapi saya akui bahawa langkah kerjasama itu mampu dilakukan oleh kerajaan negeri kerana segala urusan berkaitan dengan tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri. Kerajaan pusat telah pun menggunakan model yang sama di dalam projek RUMAWIP tetapi model ini boleh diperluas lagi di negeri-negeri lain dengan syarat kerajaan negeri memberi kerjasama kepada kerajaan pusat demi kemaslahatan rakyat.

Kesedaran Perancangan Kewangan di Kalangan Rakyat Masih Rendah

Saya juga tidak rule out kemungkinan bahawa isu pemilikan rumah mampu milik dan kos sara hidup rakyat juga berlaku kerana kesedaran perancangan kewangan di kalangan rakyat masih lagi di tahap yang kurang memuaskan. Financial Planning Association Malaysia (FPAM) juga mengakui bahawa rakyat Malaysia sangat memerlukan nasihat kewangan yang betul bagi meneruskan kehidupan di kala situasi ekonomi yang mencabar.

Kesedaran perancangan kewangan yang rendah ini menyebabkan rakyat Malaysia sukar untuk mendapatkan pinjaman pembelian rumah. Menurut kenyataan daripada BNM, walaupun kadar kelulusan pinjaman perumahan jatuh selepas BNM memperketatkan syarat kelulusan pinjaman perumahan, tetapi ia bukan penyumbang utama kepada ketidakmampuan orang Malaysia untuk membeli rumah. Kelulusan pinjaman  yang rendah kebanyakannya adalah disebabkan oleh bebanan hutang yang sudah tinggi di kalangan peminjam.

Perancangan kewangan yang teliti juga mampu untuk mengeluarkan golongan berpendapatan rendah untuk keluar dari kepompong B40 menuju ke golongan M40. Ramai rakyat yang tidak jelas antara keperluan dan kehendak di mana contoh paling mudah adalah gejala merokok. Ramai golongan B40 merupakan perokok tegar yang merungut berkenaan dengan kos sara hidup tetapi sebenarnya mampu untuk mengubah nasib keluarga hanya dengan berhenti merokok.

Jadi apakah solusi dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat dari aspek kewangan? Bagi pendapat saya, pihak kerajaan perlu memperkenalkan dan memperkasa agenda perancangan kewangan dengan membuat kempen kesedaran akan kepentingan merancang kewangan. Industri perancangan kewangan Malaysia masih lagi di peringkat awal dan sukar untuk berkembang kerana cabaran daripada pemain lain di dalam industri yang sama seperti ejen produk unit amanah dan takaful yang telah berada di dalam pasaran jauh lebih awal berbanding industri perancangan kewangan.

Walaupun secara hierarkinya perancangan kewangan adalah salah satu aktiviti berlesen yang dikawal oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berbanding dengan ejen unit amanah yang dikawal oleh Federation of Investment Managers Malaysia (FIMM) namun industri perancangan kewangan Malaysia jauh terkebelakang berbanding dengan industri unit amanah dan usaha perlu dilakukan oleh pihak kerajaan untuk membetulkan keadaan ini.

Sebagai perbandingan, jumlah perancang kewangan berlesen di Malaysia hanyalah seramai 3,983 orang berbanding ejen unit amanah seramai 52,521 orang. Jika kita melihat secara purata, seorang perancang kewangan berlesen perlu memberi servis kepada 7,532 orang rakyat Malaysia berbanding dengan ejen unit amanah yang hanya perlu memberi servis kepada 571 orang rakyat Malaysia.

Jika kita lihat kepada negara maju seperti Singapura, jumlah perancang kewangan adalah 20,000 orang dan setiap daripada mereka hanya perlu berkhidmat kepada hanya 259 orang rakyat Singapura. Disebabkan itu, industri perancangan kewangan di sana jauh lebih terkedepan dan rakyat di Singapura telah didedahkan dengan ilmu perancangan kewangan sejak mereka masih kecil lagi.

Insentif cukai yang diberikan kepada rakyat melalui bajet yang lepas seperti insentif pembelian buku dan majalah,  Skim Persaraan Swasta, caruman takaful dan insurans sepatutnya diperluaskan kepada mereka yang membuat perancangan kewangan. Sebagai contoh, kepada sesiapa yang mendapatkan khidmat perancang kewangan, maka segala caj yang dikenakan kepadanya boleh mendapat insentif cukai. Saya kira, dengan insentif ini ramai rakyat di Malaysia akan mendapat manfaat dan mula celik dalam mendapatkan nasihat berkenaan dengan perancangan kewangan.

Apakah yang kerajaan dapat daripada polisi ini? Selain daripada mewujudkan masyarakat yang lebih berdaya saing di dalam bidang kewangan peribadi, kerajaan juga mendapat faedah daripada pengurangan kos operasi daripada aspek kesihatan dan skim persaraan.

Pada tahun 2016, kerajaan mengeluarkan perbelanjaan untuk membayar pencen kepada pesara sebanyak RM19Billion dan jumlah ini makin bertambah saban tahun. Sistem pencen yang diamalkan tidak mampu bertahan dan akan menelan belanja yang besar di dalam siri bajet yang akan datang. Selain daripada merombak sistem pencen yang ada, penjawat awam mahupun pekerja swasta boleh mendapatkan nasihat dalam merancang persaraan mereka supaya tidak terlalu bergantung kepada skim pencen semata-mata.

Begitu juga dengan system KWSP di mana daripada 15 juta pekerja, hanya 4 juta sahaja yang membuat caruman secara konsisten. Tambah merisaukan, lebih 78% daripada pencarum mempunyai jumlah simpanan persaraan di bawah kadar minima RM200,000. Dalam tempoh tiga ke lima tahun, dana persaraan tersebut akan habis digunapakai oleh kebanyakan pesara. Akhirnya mereka terpaksa kembali ke dalam pasaran pekerjaan atau terpaksa bergantung kepada kerajaan dalam meneruskan kehidupan, terutamanya dalam kos perubatan.

Penetration rate takaful di Malaysia hanyalah sekitar 16% dan masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai takaful perlindungan baik perubatan mahupun takaful hayat. Trend ini amat membimbangkan di mana kerajaan membelanjakan hampir RM27Billion untuk Kementerian Kesihatan sahaja. Kadar inflasi perubatan di Malaysia agak tinggi, sekitar 2 digit dan pemberian subsidi terus terhadap perubatan pastinya akan menambah beban kewangan kerajaan di masa akan datang.

Dengan adanya kempen kesedaran pengurusan kewangan peribadi dan penolakan cukai, ia sedikit sebanyak akan mengurangkan beban kerajaan pada masa akan datang baik dari segi kos perubatan mahupun persaraan.

Pembangunan Modal Insan

Kerajaan amat menitik beratkan aspek pembangunan modal insan di dalam rangka menjayakan matlamat Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020. Pelbagai insentif telah diberikan oleh kerajaan bagi mencapat matlamat ini antaranya program MyBrain15 di mana para graduan ijazah sarjana muda boleh mendapatkan bantuan biasiswa bagi menyambung pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Di dalam RMK11, kerajaan menyedari terdapat mismatch of skills di antara pasaran kerja dan pasaran tenaga kerja di mana pekerjaan yang ada di Malaysia kebanyakannya hanya melibatkan pekerjaan berkemahiran rendah dan boleh diisi oleh tenaga kerja asing. Kerajaan melihat terdapat keperluan yang mendesak untuk membangunkan semula pasaran tenaga kerja yang didominasi oleh pekerja berkemahiran tinggi dan sistem ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Bagi mencapai sebuah sistem ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi, penyelidikan harus dijalankan. Jika kita lihat statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Sains dan Teknologi, pada tahun 2012, Malaysia telah mengeluarkan belanja untuk penyelidikan hampir 1.13% daripada KDNK, dan jumlah ini masih dikira kecil jika dibandingkan dengan dana penyelidikan negara maju yang secara purata berbelanja sekitar 2% ke 4% daripada jumlah KDNK mereka.

 

 

Namun, kebanyakan negara maju yang memberi fokus kepada penyelidikan mampu untuk capitalize hasil penyelidikan mereka melalui proses pengkomersilan secara besar-besaran. Amerika Syarikat mempunyai peruntukan bagi membiayai penyelidikan dan menerima royalti hasil pengkomersialan penyelidikan tersebut.

Terdapat kajian yang dijalankan bagi mengkaji tentang kurangnya produk komersil hasil daripada penyelidikan yang dilakukan oleh para saintis di Malaysia. Antara faktor yang menyebabkan kurangnya pengkomersilan adalah kurangnya kefahaman antara keperluan akademik dan industri, strategi promosi yang kurang berkesan dalam pemasaran produk, dan yang paling penting adalah kurangnya dana penyelidikan dari pihak kerajaan.

Data di bawah menunjukkan pecahan dana penyelidikan daripada sektor swasta, pusat pendidikan tinggi dan kerajaan. Penyelidikan untuk mengkomersilkan produk memerlukan dana yang tinggi bagi menghasilkan produk dan sekiranya penyelidik berjaya mendapatkan sponsor daripada syarikat swasta, isu kewangan tersebut akan selesai.

 

Kerajaan juga turut menawarkan dana penyelidikan untuk pengkomersilan produk tetapi terdapat mismatch di dalam perlaksanaannya di mana dana tersebut diperuntukkan kepada penyelidikan secara ‘company and project based’. Namun, jika dilihat di negara-negara maju, kebanyakan penyelidikan dan inovasi bermula daripada syarikat ‘startup’ dan di Malaysia geran kajian dan penyelidikan untuk syarikat ‘startup’ ini amat sedikit.

Bagi merancakkan industri inovasi dan teknologi di kalangan syarikat ‘startup’ ini, kerajaan telah memperkenalkan beberapa institusi khas dan diberikan dana khas seperti Malaysian Venture Capital (MAVCAP) dan Cradle. Namun disebabkan risiko syarikat ‘startup’ yang terlalu tinggi kerajaan mengkaji semula keperluan industri ini dan memperkenalkan insentif cukai bagi pemberi dana yang menyuntik dana ke dalam syarikat ‘startup’ ini.

Langkah ini saya kira amat baik kerana ia bukan sahaja menyelamatkan wang cukai rakyat daripada dilaburkan ke dalam pelaburan yang terlalu tinggi risikonya tetapi ia menjana sebuah ekosistem baru untuk kelangsungan industri yang berasaskan inovasi dan teknologi ini.

Kerajaan juga mungkin boleh mengkaji keperluan untuk menyediakan geran penyelidikan ke dalam syarikat ‘startup’ ini, dan bukan melalui suntikan dana seperti yang dikelolakan oleh MAVCAP itu tadi.

Revolusi Industri Ke 4- Impak kepada Pasaran Tenaga Kerja

RMK11 mensasarkan agar sektor servis terus menjadi tunggak kepada ekonomi negara. Jika dilihat peluang pekerjaan di dalam sektor servis di Malaysia kebanyakannya didominasi oleh pekerja asing. Tidak dinafikan sektor servis profesional seperti industri perubatan dan kewangan masih lagi dipegang oleh rakyat Malaysia kerana ia memerlukan skill set yang tinggi.

Malaysia harus beralih daripada polisi ‘cheap labour & cheap capital’ kepada polisi yang lebih menguntungkan pekerja supaya selari dengan status high income nation yang ingin dicapai. Ini penting kerana ia membabitkan pulangan kepada kerajaan dalam bentuk cukai pendapatan.

Untuk pengetahuan semua, walaupun pasaran tenaga kerja di Malaysia adalah seramai 15 juta orang, namun hanya 1.7 juta sahaja yang membayar cukai pendapatan. Isu ini akan menjadi lebih kritikal apabila negara beralih kepada revolusi industri ke 4 (IR4) dan terdapat keperluan untuk kerajaan mendefinisikan semula sempadan percukaian untuk mengambil kira impak IR4 ini.

Kemunculan revolusi industri ke 4 (IR4) bakal mengubah lagi lanskap pasaran tenaga kerja Malaysia di mana 50% daripada pekerjaan yang ada adalah ‘redundant’ dan bakal diganti dengan robot yang mempunyai kecerdasan buatan (AI). Akibatnya, ramai yang bakal diberhentikan kerja kerana kos menggunakan robot adalah jauh lebih murah berbanding manusia. Proses digitalization ini telah pun bermula di mana beberapa buah bank telah menutup beberapa cawangan dan mula mengadaptasi konsep pejabat digital.

Dengan kehadiran IR4, akan berlaku perubahan di dalam pasaran tenaga kerja di mana lebih ramai kemahiran sains computer lebih diperlukan berbanding bidang lain. Jadi, pelajar di alam universiti perlu diberikan pendedahan yang lebih mendalam supaya mereka boleh mempersiapkan diri dengan skillset yang betul sebelum menamatkan pengajian.

Seperti yang saya lontarkan di awal tadi, dengan kehadiran IR4 pihak kerajaan perlu mendefinisikan semula sempadan percukaian kerana pada masa akan datang semakin banyak pekerjaan berkaitan dengan teknologi ini boleh dilakukan secara ‘freelance’ atau daripada luar negara. Oleh itu kerajaan perlu bersedia untuk menghadapi gelombang IR4 ini dan merangka strategi supaya kepentingan negara dan rakyat dapat dijaga.

Pembangunan Infrastruktur Yang Relevan kepada rakyat

Sejak Perdana Menteri mengambil tampuk pemerintahan, antara perkara yang menjadi fokus beliau adalah membina jaringan infrastruktur yang lebih menyeluruh dengan proses pengstrukturan semula kesemua syarikat konsesi pengangkutan awam di bawah Prasarana.

Perdana Menteri juga telah mengumumkan inisiatif pembinaan jaringan pengangkutan awam baru seperti MRT1, 2 3 dan High Speed Rail (HSR) KL-Singapura serta ECRL. Pada bulan Julai yang lalu, MRT1 mula beroperasi sepenuhnya dengan kos pembinaan dianggarkan sekitar RM23Billion.

Ternyata dengan pembinaan jaringan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh ini sebenarnya memberi impak yang positif kepada ekonomi negara pada masa yang sama meningkatkan kadar produktiviti pekerja melalui penjimatan masa ke tempat kerja.

Sekiranya seseorang penguna hanya menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja, kos yang dikeluarkan adalah jauh lebih rendah berbanding jika dia memandu ke tempat kerja. Sebagai contoh, pengguna yang tinggal di Kajang tetapi bekerja di Pusat Bandar Damansara akan membelanjakan sekitar RM7.40 untuk perjalanan dua hala (TouchnGo). Namun jika dia ingin menggunakan pengangkutan awam bersama dengan keluarga, ia tidak lagi kos efektif dan memandu sudah pasti menjadi pilihan yang lebih ekonomi kepadanya.

Akhirnya rakyat akan kembali menggunakan kereta berbanding pengangkutan awam. Antara langkah yang boleh dilakukan kerajaan adalah dengan mengkaji semula tempoh konsesi dengan syarikat konsesi. Kadar tambang boleh dikurangkan jika tempoh konsesi dipanjangkan lagi ke satu tempoh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Kerajaan juga boleh membuat kempen menaiki pengangkutan awam dengan lebih kerap supaya dapat menanamkan idea penggunaan pengangkutan awam di minda rakyat. Proses mendidik rakyat adalah proses yang panjang tetapi proses yang sama juga dilakukan oleh negara-negara maju seperti Australia sebelum berada pada tahap mereka sekarang ini.

Masyarakat yang tidak mampu berdikari

Jika kita soroti dengan teliti, sebenarnya terdapat satu masalah besar yang sedang melingkari masyarakat Malaysia di mana telah wujud di dalam masyarakat kita sikap rakyat yang mahukan segala-galanya dibekalkan oleh kerajaan secara percuma ataupun pada kos yang sangat minima dan pada masa yang sama, mereka juga tidak mahu membayar cukai.

Masalah mentaliti yang inginkan segalanya disediakan oleh kerajaan ini akan membarah di dalam masyarakat dan secara perlahan-lahan akan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara. Sebagai contoh, jika rakyat nak beli minyak, mereka akan memohon supaya kerajaan memberikan susbsidi kepada mereka. Jika nak membeli rumah, mereka mahu kerajaan sediakan deposit 10%. Jika ingin membuka syarikat ‘startup’, mereka inginkan bantuan modal dan insentif cukai dan senarai ini tidak akan berkesudahan.

Ini belum lagi kita lihat bajet pembangkang yang mencadangkan pendidikan percuma, tol percuma, gaji minima RM1,500, pemansuhan GST dan pelbagai lagi insentif yang terus menggula-gulakan rakyat tanpa melihat kepada realiti keadaan ekonomi semasa.

Peranan Kerajaan – antara kehendak dan keperluan

Trend kebergantungan menyeluruh kepada kerajaan ini amatlah tidak sihat dan perlukan penyelesaian segera. Pihak kerajaan perlu lebih bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan dan kehendak rakyat dengan menyediakan garis panduan bagi membezakan kehendak dan keperluan rakyat. Sebenarnya, polisi-polisi yang digariskan oleh pihak kerajaan adalah untuk menyediakan keperluan rakyat tetapi boleh ditambahbaik dengan memperkenalkan caj dan yuran setimpal dengan taraf kehidupan rakyat tersebut.

Sebagai contoh, kerajaan memberikan servis perubatan secara percuma tanpa sebarang bayaran. Melangkah ke depan, saya mencadangkan agar servis perubatan ini diberikan mengikut tahap pendapatan seisi rumah. Golongan B40 tiada caj dan yuran dikenakan, golongan M40 masih boleh menikmati khidmat tetapi disubsidi hanya separuh dari jumlah kos sebenar manakala golongan H20 tidak diberikan subsidi langsung.

Kerajaan juga boleh menggunakan model perubatan di negara-negara maju di mana kos perubatan ditanggung bersama oleh rakyat dan kerajaan. Sebagai contoh, di Australia rakyat perlu mencarum kepada insurans perubatan yang berkadaran dengan tahap kesihatannya. Lebih tinggi premium yang akan dikenakan sekiranya pencarum mempunyai tahap kesihatan yang tidak baik. Ini tidak langsung akan menjadikan rakyat lebih peka terhadap tahap kesihatan masing-masing dan sekaligus mengurangkan kos perubatan negara.

Ini bukanlah diskriminasi dan ia boleh dikira sebagai sebuah mekanisme dan cara bagi menyedarkan semula rakyat supaya tidak terlalu bergantung kepada kerajaan.

Malaysia, sebuah negara berdaya saing dan maju.

Sebagai sebuah negara yang ingin bergerak ke arah negara maju pada tahun 2020, ia memerlukan kerjasama rakyat dan juga kerajaan di mana kedua-duanya mempunyai peranan dan tanggungjawab yang perlu dijalankan. Di sini saya ingin menyeru agar kerajaan dan rakyat lebih peka terhadap tanggungjawab masing-masing dalam menjadikan negara ini lebih sejahtera dan berdaya saing di masa depan.   Kerajaan pula apabila sudah diberi amanah, juga perlu lebih telus dalam perbelanjaan, dan mengambil tindakan berat terhadap individu-individu yang menyeleweng dengan amanah yang diberikan. Anda bayangkan jika satu kes rasuah sahaja sudah memakan beratus-ratus juta ringgit? Bagaimana negara ini hendak maju? Sepatutnya wang rasuah tadi jika diurus dengan telus dan amanah, pasti akan memberi banyak manfaat kepada rakyat. Harapan ikhlas saya, semoga bajet 2018 ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan bukannya sekadar gula-gula politik bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Oleh:

Muhamad Nur Farhan

Penganalisis CAPE (Centre for Alternative Policies and Economics)

Authors

*

Top