Berapa Ramai Pemimpin Islam Sudah Mati di Penjara Mesir

egypt-trials

egypt-trials

Salah seorang ahli tertinggi kumpulan Jemaah Islamiah Mesir, yang diharamkan penubuhannya, meninggal dunia di dalam tahanan tentera Mesir, tidak lama selepas kematian beberapa lagi tahanan yang menentang regim pemerintah negara itu baru-baru ini.

Dalam sebuah kenyataan pada Ahad lalu, Jemaah Islamiah mengumumkan berita kematian Essam Derbala di Penjara Al-Arqab yang terkenal di selatan Kaherah. Derbala dihalang daripada mendapatkan rawatan perubatan sehingga menyebabkan beliau koma dan menemui ajal.

Tiada sebarang ulasan daripada pihak berkuasa Mesir berkenaan isu kematian Derbala. Namun menurut suatu sumber rasmi keselamatan Mesir yang melaporkan secara sulit kepada Anadolu Agency, kematian Derbala adalah berikutan sebab-sebab “natural”.

Derbala merupakan antara penyokong presiden Mesir yang telah digulingkan, Mohamed Morsi, ditahan atas tuduhan menyertai kumpulan haram. Dua orang tahanan yang menentang regim Mesir turut menemui ajal sebelum Derbala, juga di dalam tahanan tentera.

Awal bulan ini, pemimpin Jemaah Islamiah, Ezzat al-Salamouni telah meninggal dunia di sebuah hospital penjara. Menurut sumber Jemaah Islamiah, al-Salamouni yang ditahan kerana tuduhan melakukan “keganasan” – meninggal dunia kerana “kecuaian perubatan”.

Seorang lagi tahanan, Ahmed Hussein Ghozlan, meninggal dunia di sebuah penjara di daerah Nile Delta, Behira, di atas sebab yang sama – menurut pihak peguambela. Ghozlan, 52, ditahan atas tuduhan keahlian ke dalam Ikhwanul Muslimin yang dilabel sebagai kumpulan pengganas sejak daripada tahun 2013 oleh kerajaan Mesir.

Mesir dilanda kekacauan sejak daripada penggulingan dan penahanan Mohamed Morsi oleh regim tentera  – presiden Mesir yang dipilih secara demokrasi dan merupakan pemimpin Ikhwanul Muslimin – pada pertengahan 2013. Menurut data Hak Asasi Manusia, pada tahun lepas sahaja, seramai 95 orang tahanan telah meninggal dunia di dalam penjara Mesir.

 

Terjemahan: Nureen Adnan

Sumber: MEM

Authors
Tags

Related posts

*

Top