Berfikir Semula Tentang Merdeka (Rethinking ‘Merdeka’)

Berfikir semula tentang-2

 

Zaman pramerdeka, sebelum 31 Ogos 1957, terdapat pelbagai perkara yang wujud, bergerak, dan bertembung dalam satu dinamika yang membentuk satu arus yang dominan, iaitu arus keluar dari bawah pemerintahan dan pentadbiran penjajah kolonial British, seterusnya membentuk pentadbiran negara sendiri.

 

Antara komponen besar yang menjadi elemen asas dalam dinamika pembentukan arus itu ialah komponen pemikiran dan rasional akal. Pada hakikatnya ia adalah pencetus kepada komponen-komponen lain yang berlegar di sekelilingnya seperti komponen perasaan atau sentimen, dan juga komponen tindakbalas fizikal atau penentangan yang zahir.

 

Ramai yang mudah lupa akan peranan penting komponen pemikiran di Tanah Melayu pada waktu itu serta kesannya kepada peristiwa yang terjadi pada 31 Ogos 1957. Sepertimana fitrah seorang insan, kenangan dan nostalgia sering kali dipautkan pada perkara yang mudah dirasai, seperti emosi dan sentimen (kebencian kepada penjajah) dan peristiwa-peristiwa yang berlaku secara zahir (berlaku kongres orang Melayu, berlaku rundingan dengan penjajah, Tunku Abd Rahman berangkat ke London, dan sebagainya). Walhal yang lebih penting untuk diteliti dan diambil pelajaran ialah pergulatan idea, pendapat, dan asas-asas pemikiran yang menjadi landasan tercetusnya pelbagai peristiwa.

 

Memang, pada era itu tidak  ramai rakyat Malaysia yang berfikir secara panjang dan mendalam mengenai hal-hal negara. Kebanyakan orang Melayu setelah lama tidak hidup memerintah (seperti ketika empayar Melaka) lebih cenderung berfikir soal survival kehidupan dan perkara-perkara asas untuk menyara hidup keluarga sendiri. Kebanyakan orang Cina pula setelah agak dominan dalam arena ekonomi dan perniagaan, lebih cenderung berfikir soal-soal yang boleh memelihara keuntungan niaga mereka agar generasi seterusnya lebih mewah dan mempunyai banyak harta. Kebanyakan orang India pula tidak jauh bezanya seperti orang Melayu, soal sara hidup dengan ekonomi asas mendominasi bualan mereka di ladang dan estet.

 

Tidak ramai rakyat Malaysia yang meluangkan masa untuk berfikir soal-soal yang lebih rumit dan mendasar dalam pembinaan sebuah negara. Persoalan-persoalan pada sudut budaya, agama, pendidikan, struktur sosial dan pembangunan keluarga, tidak banyak difikirkan dan dibicarakan. Sedangkan buah-buah pemikiran itulah yang menjadi khazanah untuk masa depan negara.

 

Dinamika perjalanan menuju ke tarikh 31 Ogos 1957 adalah lebih luas daripada satu kisah dan satu pendapat sahaja. Misalnya, bukan seluruh rakyat Malaysia ketika itu sependapat dengan Tunku Abd Rahman bahawa berunding dengan penjajah untuk merdeka itu adalah jalan yang terbaik untuk masa depan negara. Ada tokoh-tokoh lain yang berfikir dalam kerangka yang lebih mendasar, dan lebih mengambilkira generasi akan datang.

 

Lanskap politik sebenar ketika itu hakikatnya lebih kompleks. Apabila dilihat dengan lebih terperinci, kita akan menyaksikan lebih ramai tokoh pejuang yang sebenarnya berperanan penting. Setiap tokoh membawa idea dan gagasan Malaysia yang lebih komprehensif, tetapi tidak kesampaian. ‘History is written by victors– dan dalam hal ini, Tunku Abd Rahman.

 

Mengapa tidak buah-buah pemikiran mereka itu kita ziarahi semula? Barangkali ada pedoman dan pelajaran untuk Malaysia menyusun semula masa depannya?

 

Lihatlah contohnya buah fikiran Syeikh Tahir Jalaluddin yang memberi komentarnya terhadap kemerdekaan Tanah Melayu ketika itu:

“..Kemerdekaan itu bikinan beberapa syarat dan pada pandangan saya belumlah sampai waktunya bagi kita boleh memerintah dan bersendiri. Sekiranya itu yang dikehendaki terwajiblah atas kita sekalian anak bumiputera yang berpengetahuan sempurna pada segenap perkara, bukanlah segala pengetahuan agama sahaja bahkan segala pengetahuan dan kepandaian orang-orang Eropah; mestilah dapat lebih dahulu dan sempurna kekayaan anak bumi. Apabila telah sempurna dan cukup syarat-syarat itu barulah boleh diharap mendapat keselamatan dan kemerdekaan dan jikalau tidak nescaya kehendak itu cita-cita yang tidak boleh dapat. Jikalau berjalan pun nescaya mendatangkan bahaya atas diri, maka yang demikian tidak dibenarkan oleh syarak.”

 

Lihat pula pandangan Dr Burhanuddin Al-Helmy:

“Perjuangan kemerdekaan bangsa dan tanah air akan bergolak terus walaupun Malaya merdeka pada 31 Ogos 1957 ini. Kemerdekaan itu harus diisi dengan kenyataan-kenyataan, dengan realiti-realiti kemakmuran ekonomi rakyat, dengan realiti, dengan kenyataan ketinggian akhlak rakyat.

Perjuangan itu sama besarnya dengan perjuangan yang telah kita pusakai dari datuk nenek kita menentang penjajahan semenjak kejatuhan Empayar Melaka dulu. Dan sudah barang tentu perjuangan yang sebesar itu menghendaki tenaga yang sebulat-bulatnya dari seluruh rakyat negeri ini..” (1956)

 

Demikian beberapa petikan buah fikiran yang membentuk sebahagian daripada dinamika naratif Tanah Melayu sebelum Tunku Abd Rahman melaungkan merdeka pada 31 Ogos 1957.

 

Melangkaui lebih daripada separuh kurun semenjak tarikh itu, lebih separuh kurun lafaz merdeka diulang setahun sekali sebagai peringatan, adalah wajar pemikiran-pemikiran yang membenihkan arus tersebut suatu masa dahulu dibuka semula kepada pentas diskusi dan perbincangan.

 

Barangkali kita akan menjumpai beberapa permata dan intan berharga yang membantu kita menempuh jalan ke hadapan bagi negara ini, yang kini sedang cekal mendepani himpitan dan asakan gergasi-gergasi penjajah antarabangsa.

 

Syed Ahmad Israa’
COO IRIS Institute

Authors

Related posts

*

Top