Dalia Mogahed Menjawab tuduhan terhadap Umat Islam Amerika

tumblr_o0nd3tS8WO1r0ajmso1_1280

tumblr_o0nd3tS8WO1r0ajmso1_1280

Seorang pengarah kajian di Institute for Social Policy and Understanding, Dalia Mogahed dijemput hadir dalam sebuah rancangan televisyen terkenal, The Daily Show with Trevor Noah untuk mengupas isu berkenaan nasib yang menimpa umat Islam di Amerika Syarikat yang melibatkan salah faham terhadap majoriti masyarakat Islam yang tinggal di negara tersebut. Dalam perbincangan bersama Trevor Noah yang merupakan hos rancangan itu, Dalia Mogahed menjelaskan secara ringkas dan terperinci serta turut membidas dakwaan buruk yang sering dibuat oleh masyarakat bukan Islam yang melihat Islam serta Muslim sebagai satu ancaman terhadap keselamatan mereka.

Menurut Dalia, salah satu punca yang membawa kepada salah faham masyarakat dunia terhadap isu keganasan yang dilaksanakan oleh orang Islam adalah disebabkan liputan yang dibuat oleh media yang dilihat bersikap berlebihan dalam menyampaikan berita tentang keganasan yang dilakukan oleh beberapa pengganas Muslim. Beliau kemudian turut mengeluarkan fakta tentang statistik sebenar keganasan yang berlaku di Amerika Syarikat serta di Eropah.

Dalia berkata dalam dialog tersebut, “Majoriti pembunuhan terhadap penduduk Amerika dilakukan oleh kumpulan jahat yang terdiri daripada bangsa berkulit putih”. Tambah beliau lagi, di antara tahun 2011 dan 2014, rekod tindakan keganasan yang dilakukan oleh orang Islam di Eropah adalah kurang daripada 2 peratus kes. “Jadi, kebanyakan pengganas adalah dari kalangan bukan Muslim,” sambung beliau lagi.

Selain daripada isu keganasan, Trevor mengemukakan pandangan orang ramai terhadap fungsi masjid yang dianggap sebagai tempat Muslim menjadi radikal. Namun Dalia menidakkan pendapat tersebut dan menjelaskan fungsi masjid sebenar sebagai satu pusat di mana masyarakat Muslim bergaul dan mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain.

Dalam perbincangan tersebut, jelas sekali perbezaan konsep yang difahami oleh segolongan bukan Muslim menjadi punca kepada salah faham yang sedang berlaku dalam kalangan masyarakat Amerika serta masyarakat dunia. Konsep jihad contohnya, disalahertikan sebagai pembunuhan ke atas golongan bukan Muslim yang dibenarkan dalam Islam.

Namun menurut Dalia, beliau mengatakan kebanyakan Muslim yang disoal mengenai tindakan keganasan yang dilakukan oleh kumpulan ekstrimis seperti ISIS tidak bersetuju dengan keganasan seperti itu kerana menegaskan bahawa ajaran Islam tidak mengajar mereka bertindak sedemikian. Beliau juga mendakwa mendapat pandangan negatif oleh orang ramai terhadap cara pemakaiannya yang berhijab.

Berkenaan soal pemakaian hijab, ramai golongan bukan Muslim melihat perkara ini sebagai satu bentuk kongkongan terhadap wanita kerana hijab dilihat seperti ‘penjara’ buat kaum wanita kerana tiada kebebasan untuk mereka berpakaian mengikut kehendak masing-masing. Namun dalam memberikan pendapatnya, Dalia mengatakan bahawa hijab adalah satu tindakan yang dilakukan secara ikhlas dalam mematuhi perintah Allah serta merupakan langkah yang penting dalam memelihara seksualiti wanita.

Ketika ditanya adakah ISIS akan wujud tanpa Islam, Dalia menjawab, “Mereka akan wujud.” Beliau berkata lagi, kumpulan ekstrimis seperti ISIS serta kumpulan-kumpulan lain yang pernah wujud di bahagian Timur Tengah adalah disebabkan faktor geopolitik yang kompleks di mana kumpulan-kumpulan tersebut mengambil peluang menguasai kawasan-kawasan yang telah lumpuh disebabkan perang sivil dan sebagainya.

Oleh:

Wan Nur Khairunissa adalah kolumnis focus yang berpusat di Amerika Syarikat

Sumber:

http://www.cc.com/shows/the-daily-show-with-trevor-noah/interviews/lnkifi/exclusive-dalia-mogahed-extended-interview

*

Top