Ekonomy 101: Apa itu Wang?

duit-bisnes

duit-bisnes

 

Semua orang menggunakan wang dalam kehidupannya. Kita semua yang memerlukannya akan berusaha memikirkan dan mendapatkannya. Jadi, jika anda tidak tahu apakah itu wang, maka anda bukanlah seperti kebanyakan manusia biasa. Namun, untuk mendefinisikan apa itu wang, dari mana ia datang dan apakah nilainya itu adalah tugas orang yang mendedikasikan dirinya dalam disiplin ekonomi. Sementara itu, penciptaan dan pertumbuhan wang pula adalah sesuatu yang tidak begitu jelas, bagaimana wang dapat membeli barang keperluan dan kehendak. Di sini kita akan berbincang mengenai wang yang mempunyai banyak ciri-cirinya.

Apakah itu wang?

Sebelum berlaku perkembangan dalam medium pertukaran, manusia menggunakan sistem barter untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan. Secara umumnya, sistem barter berfungsi seperti ini: dua individu memiliki komoditi yang diperlukan/dikehendaki oleh orang lain akan membuat persetujuan untuk memperdagangkan barangan mereka.

Era permulaan barter ini walau bagaimanapun tidak praktikal untuk diberi dan diagihkan bagi memastikan kelancaran pertukaran. Sebagai contoh, jika anda mempunyai lembu tetapi anda inginkan buah pisang, anda hendaklah mencari seseorang yang bukan hanya memiliki pisang tetapi juga memerlukan daging lembu. Apa akan jadi sekiranya anda mempunyai pelanggan yang inginkan daging lembu tetapi dia tidak memiliki pisang untuk ditukar, sebaliknya mempunyai arnab? Bagi mendapatkan daging lembu, orang tersebut perlu mencari individu yang memiliki pisang dan mahukan arnab.

Kelemahan pemindahan barang dalam sistem barter ini sangat rumit, mengelirukan dan tidak efisien. Namun, masalah tidak berakhir di situ: walaupun anda mampu mencari seseorang yang boleh tukar daging untuk pisang, setandan pisang tidak mungkin berbaloi untuk seekor lembu. Anda mungkin perlu memikirkan cara untuk membahagikan lembu tersebut (proses yang rumit) dan tentukan seberapa banyak pisang yang anda rela lepaskan demi beberapa bahagian lembu tersebut.

Wang komoditi adalah penyelesaian kepada masalah ini, di mana ia merupakan matawang yang berasaskan nilai komoditi asas. Contohnya, penjajah menggunakan kulit memerang dan emping jagung sebagai mata wang untuk proses transaksi. Komoditi ini digunakan untuk beberapa sebab. Permintaannya sangat tinggi dan ia bukan sahaja bernilai, tetapi juga tahan lama, mudah dibawa dan mudah disimpan.

Contoh lain wang komoditi ialah, matawang U.S sebelum tahun 1971, yang bersandarkan nilai emas. Kerajaan asing boleh tukarkan matawang U.S untuk emas dengan Federal Reserve. Melihat kepada hubungan di antara wang dan emas, kita boleh mendapat sedikit pemahaman tentang bagaimana wang memperoleh nilai: seperti kulit memerang dan emping jagung, emas sangat berharga kerana permintaannya tinggi.

Ia tidak semestinya berguna – kerana akhirnya ia tidak boleh dimakan dan tidak mampu memanaskan badan di waktu malam, namun majoriti orang berfikiran ia cantik dan cukuplah orang lain melihatnya juga cantik. Emas pula adalah sesuatu yang sangat berharga. Sebelum tahun 1971, emas digunakan sebagai token untuk mendapatkan barang yang bernilai di mata masyarakat.

 

Tanggapan Penentu Segala-galanya

Jenis wang yang kedua ialah, wang fiat. Ia mewakili komoditi fizikal dan nilainya dikira sama seperti pelaksanaan emas: melalui persepsi dan keyakinan masyarakat. Wang fiat diperkenalkan kerana emas merupakan sumber yang terhad dan pertumbuhan ekonomi berlaku dengan cepat sekali sehingga tidak mampu mengeluarkan emas yang mencukupi bagi menyokong keperluan wang mereka. Dalam keadaan ekonomi yang berkembang pesat, keperluan mendapatkan emas untuk memberi nilai kepada wang adalah sama sekali tidak cekap, terutamanya apabila ekonomi sudah kukuh, nilai wang yang sebenar diwujudkan melalui persepsi masyarakat.

Wang fiat kemudiannya menjadi tanda tanya kepada masyarakat – asas kepada kenapa wang itu dicipta. Ekonomi yang sedang berkembang menghasilkan sesuatu yang berharga kepada nilai matawang dan ekonomi secara keseluruhannya. Umumnya, apabila keadaan ekonomi sesebuah negara kukuh, maka wang akan menjadi lebih kukuh (tinggi dalam permintaan) dan begitu juga sebaliknya. Akan tetapi, persepsi ini mestilah disokong dengan keadaan semasa ekonomi itu; sama ada ia mampu menghasilkan produk dan perkhidmatan yang diperlukan orang ramai.

Atas sebab itu, pencetakan wang baru bukanlah penyelesaian untuk mencipta kekayaan sesebuah negara. Wang dicipta atas asas interaksi yang berterusan di antara produk, kehendak yang tidak terhad dan kepercayaan terhadap nilai sesuatu barang: wang sangat bernilai kerana kita perlukannya kerana hanya dengan wang sahaja kita mampu mendapatkan apa yang kita kehendaki (barang mahupun perkhidmatan).

 

Bagaimana Wang Diukur?

Wang ialah RM10 yang dipinjamkan kepada rakan anda yang mungkin akan dikembalikan pada suatu masa yang lain (bukan dalam masa yang terdekat). Namun, berapakah sebenarnya wang yang ada dan apakah bentuk yang digunakan? Ahli Ekonomi dan para pelabur sering melontarkan persoalan ini bagi mengkaji kewujudan inflasi mahupun deflasi. Bagi memastikan wang boleh dibezakan untuk tujuan pengukuran, mereka telah mengklasifikasikannya kepada 3 kategori bekalan wang:

M1 – Bekalan wang meliputi semua wang fizikal seperti duit syiling, wang kertas, deposit, akaun GIRO, akaun Negotiable Order of Withdrawal (NOW) dan cek. Kategori ini mengukur komponen bekalan wang paling cair dan sesuai untuk tujuan pembayaran.

M2 – Bekalan wang yang merangkumi kategori M1 dan M2 (deposit simpanan dan instrumen pasaran wang lain seperti deposit tetap yang kurang cair). Kategori ini mewakili wang yang boleh ditukar kepada tunai.

M3 – Bekalan wang yang meliputi kesemua unsur M2 dan juga deposit jangka panjang, dana pasaran institusi kewangan, perjanjian belian jangka pendek dan lain-lain aset cair yang lebih besar.

Dengan menggabungkan ketiga-tiga kategori ini, maka akan wujudlah penawaran wang dalam ekonomi.

 

Bagaimana Wang Dicipta?

Setelah mengetahui kenapa dan bagaimana wang, yang mempunyai nilai, dicipta dalam ekonomi, kita perlu mengetahui bagaimana Bank Pusat (Federal Reserve di U.S) boleh memanipulasi penawaran wang.

Bank Pusat mempunyai kebolehan untuk mempengaruhi tahap penawaran wang oleh satu-satu negara. Ia boleh dilihat pada contoh mudah bagaimana ia terjadi. Sekiranya Bank Pusat ingin meningkatkan jumlah wang dalam edaran, mereka akan mencetak wang, namun apa yang kita faham, cetakan duit kertas hanyalah sebahagian kecil daripada usaha mewujudkan penawaran wang.

Cara lain Bank Pusat lakukan untuk meningkatkan penawaran wang adalah dengan membeli bon-bon sekuriti pendapatan tetap kerajaan dalam pasaran. Apabila Bank Pusat membeli sekuriti kerajaan, ia meletakkan wang di tangan orang ramai. Bagaimana bank pusat seperti Federal Reserve membayarnya? Pendek kata, mereka mencipta wang dengan mencetak di atas kertas-kertas kosong dan memberikannya kepada pihak yang menjual sekuriti. Bagi mengurangkan penawaran wang pula, bank pusat melakukan sebaliknya dan menjual bon-bon kerajaan. Wang yang dibayar oleh pembeli kepada bank pusat akan dikeluarkan dari edaran. Ini hanyalah contoh secara general, untuk lebih lanjut, rujuk Federal (the Fed) Reserve Tutorial.

 

Kesimpulan

Selagi masyarakat mempunyai kepercayaan terhadap mata wang, bank pusat akan mengeluarkan lebih banyak lagi. Namun, sekiranya bank mengeluarkan terlalu banyak wang, nilai matawang akan jatuh, kerana penawaran yang lebih daripada permintaan. Oleh itu, walaupun secara teknikalnya ia mampu mencipta wang dengan mudah, bank pusat tidak boleh sewenang-wenangnya mencetak wang sesuka hati.

Ringkasan dan terjemahan daripada laman sesawang investopedia.

 

Oleh:

Maisarah Shahrain

Ahli Kajian CAPE (Centre for Alternative Policies in Economics)

Authors

Related posts

*

Top