Hubungan Tamadun Uthmaniyyah-Melayu; Cabaran Besar buat Kuasa Barat

12088409_10206969949341594_7395318347507596430_n

 

COO IRIS Institute, Syed Ahmad Israa' Syed Ibrahim dalam lawatan beliau ke

COO IRIS Institute, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim dalam lawatan beliau ke Pusat Uthmaniyyah-Melayu di Istanbul baru-baru ini.

 

Pada minggu yang lalu, saya mewakili IRIS Institute melakukan kunjungan rasmi pertama ke Pusat Uthmaniyyah-Melayu di Istanbul. Pusat yang baru sahaja ditubuhkan ini (perasmiannya di Malaysia baru sahaja berlangsung pada September yang lalu) ditempatkan di sebuah kampus universiti (Fetih Mehmet Sultan University) di Topkapi, Istanbul. Mendiami sebuah binaan bersejarah yang dibina pada tahun 1598, pusat ini bercita-cita untuk menghidupkan semula kegemilangan sebuah perhubungan antara dua tamadun yang pernah melakar sejarah penting di dunia.

Visi dan aspirasi pusat ini memiliki banyak persamaan dengan Yayasan Persahabatan Malaysia-Turki-Arab-Eropah, yayasan yang menaungi operasi IRIS Institute. Masakan tidak, kedua-duanya didirikan atas kesedaran bahawa perhubungan antara tamadun Uthmaniyyah yang berpusat di Turki (Anatolia) dan tamadun Melayu yang berpusat di Kepulauan Nusantara (Malay Archipelago) bukan sekadar romantika atau mitos sejarah, bahkan ia adalah suatu perhubungan rapat dalam pelbagai bidang merangkumi pemerintahan, intelektual, pertahanan, dan sebagainya.

Pelbagai perkara saya bincangkan dengan setiausaha pusat tersebut, Mr Enes Yalman, yang merupakan seorang graduan UIAM. Katanya persaudaraan antara warga tamadun Uthmaniyyah dan warga tamadun Melayu amat mendalam kerana satu faktor besar; kedua-dua bangsa Turki dan Melayu dikenali identitinya sebagai bangsa Muslim, tidak sama sekali terpisah antara elemen bangsa dan agama. Sepertimana bangsa Arab dikenali sedemikian rupa, begitulah bangsa Turki dan Melayu.

Identiti bersepadu antara agama (aqidah) dan bangsa tersebut adalah sebuah aset besar bagi kedua-dua tamadun ini, hingga kedua-duanya memiliki pengaruh dan kuasa yang luas suatu masa dahulu serta sukar diruntuhkan.

Malah sehingga ke hari ini, meskipun secara zahirnya pemerintahan bagi kedua-dua tamadun ini yang bersendikan Islam telah berjaya dilumpuhkan oleh kuasa-kuasa dunia dari barat, sejarah serta memori yang telah dirakam oleh tamadun ini masih wujud dan berdenyut. Denyutan memori ini adalah umpama sumbu pelita yang belum terpadam. Jika ia tiba di tangan orang yang betul, pelita tersebut boleh menyala semula dengan terang benderang.

12118693_10206969950181615_8166096204551147654_n

Hal ini diketahui dengan jelas oleh kuasa-kuasa dunia di era kini, khususnya Amerika Syarikat dan Israel.

Melihatkan suasana negara-negara Islam banyak yang sedang mundur dan parah bergelut dengan pelbagai masalah dalaman seperti ketidakstabilan politik, kelembapan ekonomi, kerosakan sosial, dan lain-lain, apa yang terjadi di Malaysia dan Turki selaku pewaris dua tamadun agung terdahulu amat membimbangkan AS dan Israel.

Pembangunan kedua-dua negara ini dengan teraju mereka yang memiliki kecenderungan terhadap Islam sebagai sumber tamadun menjadi suatu yang amat membimbangkan bagi mereka. Tiada yang lebih ngeri bagi mereka berbanding sokongan padu Malaysia dan Turki kepada negara-negara Islam lain khususnya Muslim di Palestin yang sedang berjuang untuk merebut semula tanah mereka daripada cengkaman penjajah Israel.

Oleh yang demikian, kita menyaksikan pelbagai bentuk asakan ditujukan kepada Turki dan Malaysia, baik asakan bersifat halus (soft power) mahupun asakan bersifat kasar (hard power).

Di Turki misalnya, seminggu sebelum saya berkunjung ke Pusat Kajian Uthmaniyyah-Melayu, sebuah letupan bom berani mati berkembar berlaku di stesen keretapi Ankara. Letupan tersebut yang mengorbankan lebih daripada 100 orang dan mencederakan hampir 200 orang merupakan letupan yang terbesar setakat ini terjadi ke atas orang awam dalam sejarah Turki moden.

Menurut kenyataan polis Turki dan Kerajaan Turki, suspek utama dalam pengeboman tersebut ialah IS (Islamic State) dan juga PKK (Parti Pekerja Kurdistan), kedua-duanya memiliki rekod aksi bersenjata yang lain di Turki. Tentu sekali pengeboman ini telah menyebabkan rakyat secara umum menjadi takut dan berasa tidak selamat, serta kerajaan menerima tuduhan yang pelbagai.

Terdapat banyak pandangan yang mengulas mengenai motif pengeboman ini, namun yang jelas setakat ini ialah ianya sebagai suatu tekanan agresif ke atas kerajaan pimpinan AK Party bagi menghilangkan kepercayaan rakyat kepada mereka dan memburukkan imej mereka di mata dunia, menjelang pilihanraya (ulangan) yang akan berlaku awal November ini.

Sepanjang tahun 2015 sahaja, Turki telah menyaksikan beberapa lagi letupan yang lain termasuklah letupan berani mati di Sultanahmet, sebuah kawasan yang popular di kalangan pelancong dari serata dunia di Istanbul.

Kecemerlangan AK Party dalam membawa Turki keluar dari kemelut politik dan ekonomi pada awal kurun ke-21 sememangnya telah menimbulkan keresahan bagi kuasa-kuasa dunia khususnya dari Barat. Sepanjang tempoh 13 tahun AK Party memerintah, banyak tekanan dan serangan telah ditujukan kepada Turki keseluruhannya.

AK Party dikhianati oleh sekutu baiknya iaitu gerakan Gulen di bawah pimpinan Fethullah Gulen, seorang pemimpin agama yang kini tinggal di AS, mendapat dana daripada AS, dan diberikan seumpama suaka politik oleh AS. Kini, nampaknya usaha memadamkan AK Party beralih pula kepada pembinasaan hubungan baik AK Party dengan rakyat Turki sendiri, yang sekian lama telah memberikan mandat dan kepercayaan kepada mereka.

Melalui permainan sentimen yang dilancarkan oleh HDP, parti Kurdi yang merupakan wajah politik kepada PKK, sebuah gerakan terroris Kurdi, AK Party telah hilang peratus besar undi mereka khususnya di kawasan yang memiliki ramai penduduk keturunan Kurdi hingga mengakibatkan mereka terpaksa membuat kerajaan campuran. Namun tiada parti politik lain di Turki yang ingin memberikan kerjasama dan menerima pelawaan AK Party untuk membentuk kerajaan campuran di Turki.

Strategi menggunakan sentimen minoriti untuk memberontak dan mencetuskan huru-hara dalam negara adalah strategi yang tidak asing lagi bagi kuasa-kuasa dunia dari barat. Malahan semenjak kerajaan Uthmaniyyah masih berkuasa lagi modus operandi yang sama telah dijalankan.

12088409_10206969949341594_7395318347507596430_n

Permainan yang sama oleh kuasa-kuasa barat untuk mengganggu dan merencatkan pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara pembawa panji tamadun Islam juga sedang rancak berlaku kini. Kita di Malaysia sedang mengalami asakan dahsyat khususnya melalui ‘soft power’ kuasa-kuasa dunia agar kita berpihak kepada mereka dan melupakan hasrat untuk membina semula sebuah tamadun yang berdaulat dan tersendiri.

Perhatikan sahaja pendirian dan kenyataan AS terhadap demonstrasi Bersih 4.0 di Kuala Lumpur baru-baru ini, serta kunjungan mengejut Duta China ke Petaling Street selepas berlakunya Himpunan Merah. Kedua-dua peristiwa tersebut adalah cerminan pelbagai lagi strategi ‘soft-power’ kuasa-kuasa besar dalam masa yang mendatang di Malaysia.

Di Turki, permainan tersebut semakin serius sehingga ‘hard power’ digunakan dan nyawa serta darah ditumpahkan. Adakah tidak mustahil Malaysia bakal menerima asakan dan tekanan dalam bentuk yang sama? Jika ya, apakah rakyat Malaysia bersedia menghadapinya dengan rasional dan cekal? Bolehkah ia dielakkan tanpa mengorbankan wawasan dan cita-cita kita untuk memartabatkan semula agama, bangsa, dan negara kita di mata dunia?

 

Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim

COO IRIS Institute

Authors

Related posts

*

Top