Kenapa Malaysia Perlu Menolak TPPA (Siri 1)

tpp-map

 

Keghairahan Malaysia untuk menyertai perjanjian Trans-Pacific Partnership dapat difahami dengan melihat sendiri senarai negara dalam perjanjian tersebut yang turut merangkumi  Singapura dan Vietnam. Melihatkan adanya rakan negara di rantau ini, menguatkan lagi rasional Malaysia dalam menerima perjanjian yang merupakan misi Amerika Syarikat untuk mendominasi pasaran dunia di Asia Pasifik.

Malah, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar 15 Jun lalu memberi petanda bahawa kepimpinan negara ini mengambil pendekatan positif dalam menentukan keputusan Malaysia yang bakal menandatangani perjanjian penuh kontroversi tersebut.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sewaktu sesi soal jawab ketika beliau menghadiri satu majlis ramah mesra Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang diadakan Isnin lalu. Dalam kenyataannya, beliau menegaskan supaya masyarakat Malaysia perlu mengambilkira kerugian yang bakal negara ini alami sekiranya tidak menyertai perjanjian tersebut. Malah, beliau menjelaskan dengan adanya Singapura dan Vietnam melengkapi 12 buah negara yang terlibat memudahkan lagi usaha syarikat asing dalam menembusi pasaran tempatan Malaysia.

Namun, menurut satu laporan portal berita yang bertarikh 14 April 2013,  bekas Menteri Kesihatan Malaysia, Liow Tiong Lai telah mengeluarkan kerisauan beliau terhadap perjanjian TPP yang mampu memberi kesan terhadap perkhidmatan kesihatan untuk rakyat Malaysia melalui peruntukan harta intelek dalam perjanjian TPP yang digariskan oleh Washington. Malah usaha rundingan antara Washington dan Kuala Lumpur ini sudah pun dimulakan sejak tahun 2010, namun kepastian perjanjian TPP masih menjadi tanda tanya.

Siri 1: Isu Hak Harta Intelek Dalam TPPA

1. Dua dokumen yang meliputi hak harta intelek yang bakal dikenakan kepada negara yang menandatangani perjanjian TPP ini sudahpun bocor dan disiarkan di laman web Wikileaks bertarikh 16 Oktober 2014. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Wikileaks ini, perjanjian TPP bertujuan untuk mengurangkan atau menghapuskan secara langsung tahap kebergantungan syarikat asing kepada kerajaan tempatan melalui pelbagai hak istimewa baru yang bakal dinikmati syarikat korporat.

2. Malah, perjanjian yang diusulkan akan menyebabkan kerajaan negara tersebut bertanggungjawab menanggung akibat sekirannya ada syarikat asing yang terjejas dengan undang-undang negara itu, termasuklah dari aspek kesihatan, keselamatan, dan undang-undang terhadap alam sekitar. Bahkan usul ini akan mengakibatkan beban pampasan yang diberi kepada syarikat asing terpaksa ditanggung oleh pembayar cukai dan dana awam di negara tersebut.

3. Selain itu, berdasarkan dokumen bocor yang disiarkan Wikileaks, dapat kita lihat perjanjian TPP mengetengahkan matlamat besar syarikat-syarikat besar kepunyaan Amerika Syarikat dalam memperoleh manfaat dan hak istimewa yang keterlaluan bagi pelabur asing, malah mereka meletakkan kepentingan syarikat persendirian dan pelabur dari negara luar setaraf dengan kerajaan negara yang terlibat dalam perjanjian ini.

4. Selain daripada bekas Menteri Kesihatan, NGO seperti Majlis AIDS Malaysia dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia turut meluahkan kebimbangan mereka terhadap undang-undang hak intelek yang ketat digariskan dalam perjanjian TPP yang bakal mengakibatkan  syarikat perubatan Amerika Syarikat memonopoli pasaran ubatan Malaysia melalui halangan pengeluaran sebarang ubatan generik; ubatan yang dikeluarkan syarikat lain setelah paten syarikat asal telah luput. Malah peruntukan ini dilihat mampu meningkatkan kos harga ubat di pasaran tempatan.

5. Tambahan lagi, Amerika Syarikat tegas dalam menuntut satu peruntukan dalam perjanjian TPP yang melanjutkan tempoh paten yang sudah sedia ada dalam pasaran ubat sehingga tempoh 10 tahun, satu tempoh tambahan kepada syarat 20 tahun yang sedia ada.

6. Tuntutan ini dipercayai bakal mengganggu gugat perkhidmatan kesihatan awam negara sekiranya  berjaya dikenakan Amerika Syarikat dalam perjanjian TPP. Malah, besar kemungkinan kos menampung perkhidmatan kesihatan negara ini akan meningkat, menjadikan ia satu beban bagi rakyat dan kerajaan Malaysia.

Secara ringkasnya, rumusan dan analisa perjanjian TPP hanya dapat dilakukan secara terhad memandangkan perjanjian ini begitu sulit. Malah prosedur perjanjian yang begitu rahsia ini menjadi isu yang besar dalam kalangan ahli politik di Amerika Syarikat sendiri. Sehingga kini Wikileaks berjaya mendedahkan beberapa draf dari perjanjian TPP yang merangkumi peruntukan hak harta intelek, peruntukan alam sekitar, serta peruntukan kontroversi TPP-TISA-TTIP.

 

Sumber: GlobalResearch.orgFMT, TheStar

Nur Hanis Mohamad Noor

*Ikuti perkembangan isu perjanjian TPP di laman web FOCUS dalam siri seterusnya yang bakal menampilkan isu perjanjian ini dari sudut luar dan dalam negara. 

Authors

Related posts

One Comment;

  1. dora said:

    saya dengan rela hati menolak, merea ingin menjajah Malaysia melalui ekonomi

*

Top