Kenapa Malaysia Perlu Menolak TPPA (Siri 2)

 

 

A supplied image of Prime Minister Julia Gillard attending the Trans Pacific Partnership meeting hosted by President of the United States, Barack Obama with the Sultan of Brunei, New Zealand Prime Minister Key, Malaysia Prime Minister Najib Razak , Singapore Prime Minister Lee and Vietnam Prime Minister Dung in Phnom Penh, Cambodia, on Tuesday, Nov. 20, 2012. (AAP Image/Auspic, David Foote) NO ARCHIVING, EDITORIAL USE ONLY

Perjumpaan pemimpin negara yang terlibat dalam perjanjian TPPA di Phnom Penh, Cambodia pada 20 November 2012 (AAP Image/Auspic, David Foote)

 

Bagi memahami situasi semasa dunia dan bagaimana langkah Malaysia dalam merangka polisi luar negara, amat penting bagi kita untuk mengambil kira percaturan geopolitik dunia yang menampilkan dua kuasa besar ekonomi; China dan Amerika Syarikat.

Justeru, dalam isu TPPA kali ini kita bakal merungkai apa signifikan usaha Amerika Syarikat dalam menembusi pasaran Asia Pasifik, dan apa kaitannya dengan kemunculan kuasa ekonomi baru dunia iaitu China. Seterusnya dapat kita lihat bagaimana keputusan Malaysia dalam menentukan sama ada kita bakal menandatangani perjanjian tersebut ataupun tidak bakal mempengaruhi lanskap geopolitik di rantau ini.

Siri 2: TPPA dan geopolitik dunia

1. TPPA merupakan salah satu langkah Amerika Syarikat dalam melaksanakan dasar Pivot 2.0; sebuah dasar luar Amerika dalam menjaga kepentingan dan pengaruh mereka di Asia. Melalui perjanjian ini, kepentingan pekerja dalam sektor perkhidmatan Amerika dapat dilindungi kerana pasaran eksport yang luas dapat dikuasai dan syarikat multinasional mereka dengan mudah dapat menembusi pasaran tempatan negara yang terbabit.

2. Namun, perjanjian TPP yang mengecualikan China dan India, menambah lagi konflik US-China dalam menguasai pasaran Asia. Malah tindak balas China dalam usaha mengusulkan cadangan perlaksanaan Free Trade Area of the Asia-Pacific (FTAAP) pada sidang kemuncak APEC November lepas dilihat sebagai satu usaha China bagi menangani usaha TPPA Amerika.

3. Selain daripada usaha FTAAP, China turut mengorak langkah dalam menjadikan negara mereka diterima sebagai negara yang mengetuai rantau Asia dari sudut ekonomi mahupun politik. Dalam hal ini, langkah China diperkuatkan lagi dengan pelan ekonomi berprofil tinggi; Silk Road Economic Belt dan Maritime Silk Road, dan usaha penguasaan politik melalui  Shanghai Cooperation Organization dan  Conference on Interaction and Confidence-Building Measures in Asia (CICA). Kesemuanya dilaksana bagi mengekang pengaruh Amerika Syarikat di rantau Asia dari sudut ekonomi mahupun politik.

4. Namun, berikutan konflik Laut China Selatan yang berlaku awal tahun ini malah berterusan sehingga sekarang, menyaksikan China dan Amerika memulakan strategi mereka ke tahap yang seterusnya melalui usaha ketenteraan bagi menguasai perairan tersebut. Malah, tindakan Ash Carter, Setiausaha Pertahanan AS  yang giat meraih sokongan negara-negara sekitar Laut China Selatan ternyata berkesan melihatkan campur tangan Amerika Syarikat yang semakin mengganggu gugat kuasa China.

5. Jika dilihat dari sudut pandang strategi, Amerika Syarikat ternyata melaksanakan rancangan mereka dengan baik, melihat kepada reaksi China dalam menangani isu Laut China Selatan yang kini fokus terhadap usaha ketenteraan bagi mempertahankan kawasan yang dituntut mereka.  Strategi hegemoni Amerika Syarikat bagi mengekang mana-mana kuasa yang menyaingi mereka dapat dicapai dengan mengfokuskan negara terbabit dalam usaha ketenteraan. Seterusnya menghabiskan perbelanjaan negara ke arah tersebut dan menjejaskan usaha pemantapan ekonomi kuasa pesaing.

4. Strategi sebegini sudah pun digunakan ketika Amerika Syarikat mahu mengekang kuasa Rusia. Berikutan keterlibatan Amerika dalam konflik di Ukraine, langkah tersebut sebenarnya bertindak bagi melemahkan usaha rancangan Rusia dalam melaksanakan integrasi ekonomi EU-Russia yang bakal mengganggu gugat kuasa hegemoni mereka.

5. Malah peranan Ash Carter bagi mengumpul proksi Amerika di rantau Asia seakan-akan sama peranannya dengan apa yang dilakukan oleh George F.Kennan, orang yang bertanggungjawab dalam mengatur strategi Amerika bagi mengekang kuasa Soviet Union.

6. Keputusan Malaysia sama ada mahu menandatangani TPPA atau tidak semestinya akan mengubah lanskap geopolitik di rantau ini. Rundingan TPPA antara Amerika Syarikat dan Malaysia dijangka akan selesai sebelum tahun 2017 memandangkan sesi pentadbiran Obama bakal berakhir.

7. Sekiranya Malaysia bersetuju dengan TPPA, kemungkinan besar akan menjejaskan peranan ASEAN dalam menerajui rantau ini, melihatkan perbezaan dari sudut kepentingan antara negara yang terlibat; Malaysia, Singapura, Brunei dan Vietnam dengan negara ASEAN lain yang tidak terlibat dengan TPPA. Malah, Malaysia perlu mengambilkira dan menjaga kepentingan pasaran tempatan dalam memastikan hak-hak rakyat terutama golongan bumiputera supaya tidak terjejas dengan TPPA.

8. Memang tidak dapat dinafikan akan adanya kelebihan menyertai TPPA dari sudut perkembangan ekonomi Malaysia, namun alternatif lain seperti pelan ekonomi Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) yang menjadi fokus ASEAN buat masa sekarang perlu dimanfaatkan Malaysia sepenuhnya dalam usaha pemantapan ekonomi negara.

9. Kesimpulannya, TPPA bukan sekadar perjanjian ekonomi semata-mata, malah ia patut dilihat sebagai satu langkah Amerika Syarikat dalam menguasai rantau ini seterusnya menghalang niat China dalam menjadi kuasa besar dunia. Malaysia, sebagai salah satu negara yang terpilih untuk perjanjian ini perlu mengambil langkah berhati-hati dalam melaksanakan percaturan agar kedaulatan negara dapat dipertahankan.

 

Nur Hanis Mohamad Noor

Penganalisis IRIS

*Ikuti perkembangan isu perjanjian TPP di laman web FOCUS dalam siri seterusnya yang bakal menampilkan isu perjanjian ini dari sudut luar dan dalam negara

Kenapa Malaysia Perlu Menolak TPPA (Siri 1)

 

Authors

Related posts

*

Top