Kenapa Malaysia Perlu Menolak TPPA (siri 4)

Najib and Obama

 

Obama berjaya menandatangani TPA dan TAA seterusnya meluluskan dua bil tersebut menjadi undang-undang Isnin lalu

Obama berjaya menandatangani TPA dan TAA seterusnya meluluskan dua bil tersebut menjadi undang-undang Isnin lalu

Bagi mereka yang mengikuti situasi semasa arena politik Amerika Syarikat, mereka pasti teruja melihat perkembangan usaha Obama dan rakan pro-perdagangannya dalam membawa agenda TPPA ke arah persetujuan majoriti ahli Senat dan Kongres Amerika. Malah, isu TPA (Trade Promotion Authority) atau lebih dikenali sebagai ‘fast track’ mula mendapat perhatian masyarakat Malaysia dalam usaha untuk lebih memahami lanskap politik Amerika Syarikat yang memainkan peranan penting dalam penglibatan negara dalam TPPA.

Namun, untuk membawa dan menjelaskan isu TPA secara terperinci kepada masyarakat Malaysia mungkin dilihat sebagai langkah yang sukar, melihatkan kepada lanskap politik AS yang lebih bersifat tidak tetap dan sukar dijangka berbanding bersifat konkrit. Berlainan dengan lanskap politik tempatan yang lebih jelas yang mana sisi pembangkang dan mana sisi kerajaan. Politik di AS secara lumrahnya lebih kompleks dengan campur tangan pelobi-pelobi dan individu-individu tertentu.

Malah jika diperhati bagaimana usul untuk meluluskan TPA melalui Kongres AS itu sendiri, kita pasti tertarik melihatkan bagaimana strategi parti Demokrat gagal untuk membatalkan rancangan Obama, sekaligus gagal membantutkan proses TPPA, dan bagaimana Obama dan rakan pro-perdagangannya membuat serangan balas yang akhirnya berjaya meluluskan usul TPA melalui kuasa Kongres, seterusnya memberi lampu hijau bagi Malaysia untuk menyertai TPPA.

Maka, siri TPPA kali ini akan merungkai secara ringkas sejauh mana usul TPA menjadi signifikan dalam proses Amerika Syarikat untuk meluaskan hegemoninya melalui pengaruh Kongres AS dalam mana-mana perjanjian perdagangan mereka dan yang paling penting sekali, mengapa hal ini penting untuk umat Islam di Malaysia  ambil tahu dan ambil kisah, seterusnya membuka mata kita semua untuk menyedari bahawa ancaman TPPA adalah ancaman di luar nilai nasionalisme semata.

Siri 4: TPA – senjata bahaya buat Islam!

1. TPA merupakan satu akta yang membolehkan Presiden AS  mempercepatkan prosedur perlaksanaan perjanjian perdagangan dalam satu tempoh tertentu, dengan syarat ianya masih mematuhi perundangan Amerika. TPA bukan sahaja digunakan Obama dalam rundingan perjanjian TPP yang melibatkan Malaysia, malah turut digunakan dalam perjanjian perdagangan AS yang lain yang turut berlangsung pada masa yang sama, seperti TTIP (Trans-atlantic Trade and Investment Partnership); sebuah perjanjian antara EU dan AS serta TiSA (Trade in Service Agreement); perjanjian antarabangsa yang melibatkan 24 buah pihak termasuk EU dan AS yang lebih tertumpu kepada sektor perkhidmatan global.

2. Usul TPA mula dibangkitkan semula dalam pentadbiran Obama setelah status Malaysia  sebagai salah satu negara yang terlibat dalam TPPA mula dipersoalkan kesan daripada tragedi penemuan beratus kubur milik pelarian Rohingya yang ditemui di sempadan utara negara awal tahun ini. Berikutan hal tersebut, ahli politik AS mula mencabar pendirian Obama dalam meneruskan perjanjian dengan Malaysia berikutan tindakan tersebut bakal melanggar undang-undang AS yang melarang Amerika daripada melakukan perjanjian perdagangan dengan mana-mana negara yang mempunyai rekod buruk dalam jenayah pemerdagangan manusia.

3. Malah, usul TPA ini juga turut dibangkitkan baru-baru ini setelah AS membuat keputusan untuk menggunakannya dalam perjanjian TTIP dalam usaha menentang gerakan BDS (Boycott, Divestment, and Sanctions); sebuah gerakan global dalam menentang usaha Israel dalam merampas tanah Palestin. Malah AS secara terbuka menyatakan tentangan terbukanya terhadap gerakan BDS, seterusnya menyatakan sokongan AS terhadap Israel . Hal ini dapat dilihat secara jelas melalui kenyataan terbuka AIPAC (American Israel Public Affairs Committee); antara pelobi terbesar Israel dalam politik AS yang mengucapkan tahniah atas langkah Obama menggunakan TPA dalam melindungi kepentingan ekonomi Israel. Bahkan, melalui usaha ini berkemungkinan besar negara-negara EU terpaksa membatalkan gerakan BDS yang selama ini dilaksanakan mereka, bagi memenuhi syarat perjanjian TTIP dengan Amerika.

4. Jika kita lihat secara teliti, bagaimana usul TPA ini sebegitu signifikan dan sebenarnya mampu memberi ancaman buat Islam, penting untuk kita meletakkan fokus subjek utama kepada dua kelompok Muslim yang paling tertindas pada abad 21 ini. Seterusnya, kita dapat lihat dengan lebih jelas bagaimana TPA ini tidak akan memberi keuntungan malah bakal menjejaskan dua kelompok Muslim tersebut, bahkan menambah lagi kesengsaraan yang dialami umat Islam di dunia.

5. Pertama sekali, kita lihat pada situasi penduduk Palestin dan ancaman Israel. Melalui akta TPA, Amerika Syarikat kini boleh menggunakan pendekatan tekanan ekonomi terhadap negara EU melalui tentangan mereka terhadap gerakan BDS seperti yang telah dijelaskan. Namun, tekanan tersebut pada hakikatnya lebih besar daripada jangkaan kita apabila langkah AS ini sebenarnya secara langsung membuktikan sokongan Kongres AS terhadap penempatan Israel di tanah Palestin, yang selama ini diiktiraf tidak sah berdasarkan undang-undang antarabangsa. Malah, tindakan ini bertentangan dengan agenda pentadbiran AS yang selama ini mempamerkan penentangan mereka terhadap pendudukan haram Israel, membuktikan selama ini apa yang mereka persembahkan di hadapan masyarakat dunia hanyalah sandiwara semata dan hal ini berjaya dicapai mereka menerusi perlaksanaan TPA dalam rundingan TTIP.

6. Kedua, dalam kes pelarian Muslim Rohingya, tindakan AS dalam mengenepikan rekod buruk Malaysia dalam pemerdagangan manusia sudah cukup membuktikan sikap hipokrit mereka apabila tindakan mereka sendiri bertentangan dengan laporan yang dikeluarkan Jabatan Negara AS. Malah mereka sendiri yang beriya-iya mahu menurunkan reputasi Malaysia dari kelas 2 ke kelas terakhir, kononnya Malaysia tidak berbuat apa-apa dalam menangani kes pemerdagangan manusia ini. Namun apabila sampai kepada kepentingan mereka, dengan mudahnya laporan tersebut ditolak tepi dan tidak dihiraukan, seolah-olah reputasi Malaysia kini menjadi bersih dengan sekelip mata hanya beralasankan mahu berdagang  dengan mereka. Kesannya, dapat kita lihat pada Muslim Rohingya yang kini masih ‘ditolak-tolak’ negara jiran, hanya kerana kuasa besar dunia tersebut lebih memandang tinggi nilai wang dan kuasa berbanding nyawa manusia. Sudah tentu, hal ini dapat dicapai menerusi perlaksanaan TPA semasa rundingan TPPA.

7. Perjalanan dalam meluluskan TPA sudah cukup membuktikan kepada kita bahawa kuasa mana-mana perjanjian perdagangan yang melibatkan Amerika sebenarnya terletak kepada Kongres Amerika. Mereka sebenarnya yang mencatur segala kepentingan AS dalam meluaskan kuasanya ke seluruh pelusuk dunia, dan kita masih bersikap naif mengharap perjanjian yang bakal ditandatangani mampu memberi keuntungan kepada kita. Malah, berita terbaru melaporkan Hillary Clinton, salah seorang calon Presiden AS akan datang sudah mengeluarkan kenyataan terbuka menyokong langkah Israel dalam merampas tanah Palestin melalui usaha TPA ke atas BDS.

Kesimpulannya, siri-siri TPPA yang telah dikeluarkan FOCUS telah menjelaskan bagaimana perjanjian perdagangan ini sebenarnya lebih besar daripada apa yang mampu dilihat rakyat Malaysia. Perkara ini tenyata bukanlah perkara mudah yang hanya berkisarkan kepentingan negara yang bakal terjejas, malah implikasinya melangkaui sempadan semangat nasionalisme umat Islam. Maka, umat Islam di Malaysia sepatutnya merasa kebersamaan dalam menggesa kerajaan untuk menolak TPPA. Jika kita tidak mampu ambil kisah dengan isu ini atas alasan kita sebagai rakyat Malaysia, justeru ambillah ia atas alasan kita sebagai umat Islam; umat yang kini tenat diasak mereka yang bergelar musuh!

 

Nur Hanis Mohamad Noor

Sumber: FAS, PalestineLegal, AIPAC, The Diplomat, SALON

Authors

Related posts

One Comment;

  1. DT said:

    Masalahnya,kalau ada segelintir rakyat yg menentang perjanjian tersebut,menteri-menteri yg berkenaan akan menandatangani nya juga.Terutama kami yg rakyat biasa.Suara kami tidak pernah diambil peduli.

*

Top