Kenapa Palestin dalam bahaya sekarang?


1) Menurut satu analisis yang dikeluarkan di Al Jazeera oleh Jonathan Cook, Israel akan mendapat beberapa manfaat hasil perjanjian Laut Merah antara Saudi dan juga Mesir. Perjanjian itu merangkumi pembelian berjumlah billion dolar pulau Sanafir dan Tiran oleh Saudi dari Mesir. Walaupun mendapat penentangan yang hebat daripada rakyat negara tersebut, Mesir sangat memerlukan suntikan-suntikan ekonomi bagi meyelamatkan negara tersebut dari terjerumus ke dalam kancah kemiskinan. Saudi akan memberikan pinjaman dan bantuan kewangan kepada Mesir memandangkan ekonomi Mesir berada pada keadaan yang sangat teruk sekarang. Tetapi perjanjian yang berlaku ini bukan sekadar itu. Kita harus melihat dalam kaca mata yang lebih luas, iaitu apakah manfaat utama yang Israel akan dapat?

2) Manfaat utama yang diperoleh Israel adalah persepakatan hubungan diplomasi, keselamatan dan ekonomi antara Saudi dan juga Israel. Menurut beberapa laporan, seperti Wall Street Journal, Israel dilihat membantu Saudi dari aspek hubungan perisikan dan melatih tentera Saudi. Dalam laporan lain seperti Times of London, Israel dan juga Saudi telah memeterai beberapa hubungan ekonomi yang akan membenarkan perniagaaan Israel untuk beroperasi di negara Teluk, selain pesawat Israel mendapat kebenaran untuk terbang melalui ruang udara Saudi. Kapal-kapal Israel juga boleh melalui perairan antarabangsa di Teluk Aqaba ke Pelabuhan Eilat.

3)Atas hal ini, Israel tidak menyatakan sebarang bantahan ke atas perjanjian senjata antara Amerika dan juga Saudi yang dilaporkan bernilai $110 bn. Pelantikan Mohammed Bin Salman sebagai Putera Mahkota Saudi juga merupakan berita baik kepada Israel. Hal ini kerana, banyak polisi dan pendirian yang bakal dan sedang diambil oleh Mohammed bin Salman menguntungkan Israel dari sudut geopolitik.

4) Antaranya adalah pendirian Saudi yang anti kepada Iran dan berusaha untuk mengekang Iran, memberi peluang kepada strategi Israel untuk meluaskan wilayah dengan menyemarakkan lagi keteganggan di antara koalisi negara-negara sunni dan juga syiah. Mohammad Bin Salman juga banyak bersetuju dengan Amerika Syarikat dalam menghentikan pengaruh Russia ke atas Timur tengah dan melaksanakan polisi Amerika Syarikat untuk menghapuskan gerakan Islam Ikhwanul Muslimin dan Hamas melalui naratif menghapuskan keganasan oleh Daesh.

5)Sepanjang 2 tahun ini juga, banyak laporan mengatakan Mohammed Bin Salman bertemu dengan pimpinan tertinggi Israel. Antaranya adalah pertemuan di Eilat pada tahun 2015 di mana Saudi melalui perwakilan Mohammed bin Salman mengadakan kerjasama peperangan bersama dengan Jordan dan Amerika. Mohammed bin Salman juga telah melantik Abdulaziz bin Saud bin Nayef sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru bagi menguruskan usaha untuk menghapuskan elemen keganasan dalaman di Saudi.

6)Dalam satu laporan di Middle East Monitor,  Putera Saudi, Khalid Bin Farhan al-Saud yang tinggal di Jerman telah mendedahkan syarat-syarat yang diletakkan Amerika Syarikat bagi membantu Mohamed Bin Salman menaikki takhta menjadi Raja. Antaranya adalah menyelesaikan isu penempatan penduduk Gaza di Utara Sinai sebagai penempatan alternatif (Israel ingin menghalau sepenuhnya penduduk Palestin dari Gaza) melalui dana yang disalurkan Saudi dan juga UAE, menghapuskan Hamas dan mereka yang menyokong, dan mendapatkan pulau Sanafir dari Mesir.

7)Isu pemboikotan Qatar yang berlaku baru-baru ini serta keengganan Qatar untuk memenuhi 13 tuntutan yang diminta Saudi, menjadi indikator kepada sebarang tindakan memelihara dan membantu perjuangan Palestin akan menerima tekanan yang dikoordinator oleh Israel melalui proksi-proksinya. Qatar masih lagi bertahan, serta enggan tunduk kepada tekanan dengan memberi hujah bahawa mereka tidak menyalurkan dana kepada terrorisme seperti yang dikatakan Saudi. Dengan mengatakan bahawa Ikhwanul Muslim dan juga Hamas bukannya gerakan keganasan.

8)Israel juga dilaporkan ingin mengantikan Abbas dengan salah seorang pemimpin Palestin yang pro kepada mereka iaitu Mohamed Dahlan.  Beberapa perkembangan yang berlaku ini antara Saudi-Mesir-dan juga Israel harus diperhatikan rapat, serta diberi perhatian serius. Israel hakikatnya sedang mengatur langkah untuk mengukuhkan lagi cengkaman mereka di Timur tengah dan mendapatkan Palestin secara total.

Oleh:

Asyraf Farique
Penganalisis IRIS INSTITUTE 

Authors

Related posts

*

Top