Kenapa Ringgit Malaysia Jatuh (Siri 2)

moneycurrency

moneycurrency

 

Pengenalan

Semasa artikel ini ditulis, kejatuhan Ringgit Malaysia sudah mencecah ke paras tertinggi sejak tahun 1998, iaitu pada paras RM4.0455 untuk setiap 1USD. Kejatuhan Ringgit Malaysia ini tetap berlaku walaupun terdapat ulasan dari sebahagian juruanalisa yang menyatakan bahawa Ringgit Malaysia tidak akan mencecah kadar tukaran RM4 untuk setiap 1USD pada tahun ini.

 

Apabila Ringgit Malaysia mencecah ke paras RM4 untuk setiap 1USD, terdapat banyak respon negatif daripada pengguna laman sosial yang mengatakan tentang keburukan kejatuhan Ringgit Malaysia yang mana seolah-olah Malaysia berada di ambang krisis ekonomi. Namun sebenarnya kejatuhan RM sahaja bukanlah sebuah petanda yang kukuh (solid) untuk mengatakan Malaysia akan mengalami krisis ekonomi dalam masa yang terdekat. Antara faktor lain yang perlu kita ambil kira adalah pertumbuhan KDNK negara, kadar eksport menurun, kadar import bertumbuh dengan pesat, current account balance yang lemah, dan lain lain lagi.

 

Pada siri kali ini, kita akan membincangkan bagaimana faktor-faktor yang disebutkan atau tidak disebut dalam siri pertama, menyebabkan kejatuhan Ringgit Malaysia secara spesifik. Untuk memudahkan para pembaca, kita akan membahagikan faktor-faktor ini kepada dua; faktor luaran (external factors) dan faktor dalaman (internal factors).

 

Faktor Luaran 1 – Kejatuhan Harga Minyak Dunia

 

rm1

Pada  tahun 2014, harga minyak dunia mengalami kejatuhan mendadak di mana pada Januari 2014, harga minyak berada pada paras USD106 setong dan secara beransur-ansur mengalami kejatuhan sehingga ke paras USD50 setong pada hari ini. Kejatuhan harga minyak dunia juga adalah disebabkan oleh masalah permintaan (demand) dan bekalan (supply) yang mana terdapat lebihan minyak yang dihasilkan oleh pengeluar minyak dunia. Ekonomi terbesar dunia, AS dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini telah berjaya mengeluarkan minyak yang mencukupi untuk kegunaan domestiknya dan mengurangkan kebergantungan kepada OPEC sebagai pengeluar utama minyak dunia. Manakala ekonomi kedua terbesar dunia, iaitu China sedang mengalami kelembapan ekonomi, menyebabkan bekalan minyak dunia melebihi permintaan (demand) dan menekan harga ke bawah.

 

Apabila berlakunya kejatuhan harga minyak dunia, ia memberi impak negatif kepada matawang komoditi (Commodity currency) seperti Ringgit Malaysia. Matawang komoditi adalah nama yang diberikan kepada matawang yang bergantung kepada hasil pengeluaran bahan mentah sebagai sumber utama perbendaharaan negara. Disebabkan Malaysia bergantung kepada hasil pengeluaran bahan mentah, terutamanya sumber petroleum maka Ringgit Malaysia cenderung untuk bergerak selari dengan pergerakan harga minyak mentah.

 

Selain daripada kejatuhan harga minyak, kejatuhan harga komoditi lain seperti Minyak Sawit Mentah (Crude Palm Oil) dan getah turun memberi kesan terhadap Ringgit Malaysia kerana Malaysia adalah pengeluar Minyak Sawit Mentah terbesar dunia selepas Indonesia. Walaupun kejatuhan harga minyak mentah (Crude Oil) dan Minyak Sawit Mentah memberi kesan terhadap bajet kerajaan Malaysia, Kita tidak akan membincangkan topik tersebut kerana fokus kita adalah untuk memahami pergerakan Ringgit Malaysia berbanding matawang lain.

 

Faktor Luaran 2 – Jangkaan (Anticipation) kenaikan Interest Rates US

rm2

Interest rates adalah salah satu monetary policy yang digunakan untuk mempengaruhi keseluruhan aktiviti dalam ekonomi bagi memastikan kadar permintaan dan bekalan berada pada paras yang stabil. Daripada carta di atas kita dapat lihat bahawa interest rates yang dikenakan oleh The Federal Reserves of US (The Fed) semakin menurun dari tahun 2006, dan pada tahun 2009 kadar interest rates adalah pada hampir 0%. Apa yang berlaku pada tempoh tersebut sebenarnya adalah salah satu tindakan yang diambil oleh The Fed untuk membangunkan ekonomi AS yang lumpuh kerana Krisis Ekonomi Dunia pada tahun 2008.

 

Namun sehingga ke hari ini, The Fed masih tidak menaikkan interest rates kerana data yang diperoleh tentang aktiviti ekonomi domestiknya tidak memberangsangkan dan dengan menaikkan kadar interest secara tergopoh gapah akan menyebabkan ekonomi AS jatuh ke dalam krisis susulan yang tidak diingini.

 

 

Sejak awal tahun ini, The Fed mula memberikan petunjuk untuk menaikkan kadar interest di mana The Fed akan membuat pertemuan berkala bagi menganalisa situasi ekonomi AS dan membuat keputusan samada untuk menaikkan atau membiarkan kadar interest untuk satu tempoh yang belum diketahui. Apabila The Fed memberikan petunjuk tersebut, maka para pelabur dari luar AS yang sedang memegang Europe and Japanese low yielding bonds, akan beralih kepada bond AS kerana memberi pulangan yang lebih baik. Ini menyebabkan matawang kebanyakan negara lain di dunia jatuh dan matawang AS pula semakin kuat. Secara mudah, fenomena kejatuhan Ringgit ini bukanlah disebabkan oleh kelembapan ekonomi Malaysia, tetapi disebabkan oleh faktor rangsangan (catalyst) dari jangkaan kenaikan interest rates oleh The Fed.

 

Persoalan samada The Fed akan benar-benar menaikkan kadar interest adalah soalan yang tidak diketahui jawapannya kerana terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira oleh The Fed. Antaranya, apabila kadar interest dinaikkan, maka kos peminjaman (borrowing cost) akan meningkat dan menyebabkan syarikat akan menjadi tidak kompetitif.

 

Ada juga kemungkinan kadar pengangguran semakin bertambah selepas kenaikan kadar interest kerana syarikat akan menghadapi kenaikan dalam kos pengoperasian lantas mengambil tindakan untuk memberhentikan pekerja. Setakat ini data kadar pengangguran di AS masih tidak menunjukkan tanda yang positif. Pasaran Saham AS juga akan terjejas kerana kebanyakan syarikat diniagakan di pasaran saham adalah Multinational Corporation (MNCs) yang mempunyai operasi di kebanyakan negara seluruh dunia. Dengan eksport yang semakin tidak kompetitif, juruanalisa Wall Street menjangkakan pendapatan syarikat ini makin berkurangan. Selain itu, apabila USD semakin kuat, ia menyebabkan eksport AS semakin mahal dan permintaan kepada eksport AS semakin berkurang.

 

Perbandingan antara negara Asia dengan USD – majoriti negara turut terkesan

RM3

 

Secara jelas di sini kita dapat lihat bahawa matawang negara lain di Asia juga mengalami kejatuhan, dan kesemua matawang di atas adalah matawang negara yang mempunyai ekonomi yang jauh lebih besar dari Malaysia seperti Jepun, Singapura, Korea Selatan, dan Indonesia. Secara ringkas, situasi yang dihadapi oleh Malaysia adalah sama seperti negara-negara lain kerana faktor penyumbang terbesar kejatuhan Ringgit Malaysia adalah faktor luaran iaitu jangkaan kenaikan interest rates AS

 

Faktor dalaman – Fitch negative outlook

 

Credit rating agency adalah agensi yang bertanggungjawab untuk menetapkan credit rating, di mana ia menentukan keupayaan penghutang membayar kembali hutang dengan membuat bayaran berkala dan kebarangkalian untuk bankrap. Terdapat 3 Credit Rating Agency  terbesar dunia yang membuat penetapan credit rating setiap negara iaitu Moody’s, Standard & Poor dan juga Fitch. Pada bulan Julai 2014, salah sebuah credit rating agency dunia, Fitch telah membuat semakan semula rating outlook Malaysia daripada stabil kepada negatif.

 

Antara punca utama yang menyebabkan Fitch membuat semakan semula adalah disebabkan oleh bajet defisit yang diamalkan oleh kerajaan Malaysia telah mencecah 53.3% per GDP pada hujung tahun 2012. Fitch berpendapat bahawa agak sukar untuk kerajaan Malaysia mencapai target interim 3% defisit untuk tahun 2015 sekiranya tiada tindakan konsolidasi diambil untuk menangani isu ini. Semakan semula Fitch terhadap outlook Malaysia membawa maksud secara tidak langsung bahawa ekonomi Malaysia tidak kukuh dan terdedah kepada external shock.

 

Pihak Kerajaan kemudiannya mengumumkan untuk mengambil tindakan rasionalisasi subsidi dalam usaha untuk mencapai target defisit yang ditetapkan. Antara tindakan yang diambil oleh kerajaan adalah dengan memperkenalkan sistem harga petrol apungan terkawal (managed float) yang mana harga minyak akan diselaraskan mengikut purata harga minyak mentah pada bulan sebelumnya. Selain itu, kerajaan juga mengambil langkah proaktif dengan membuat penyelarasan semula bajet 2015 pada bulan Januari 2015 yang mana pengurangan bajet kerajaan sebanyak RM5.5 Billion telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disebabkan oleh kejatuhan harga minyak dunia.

 

Pada bulan Julai 2015, Fitch mengumumkan bahawa outlook untuk Malaysia telah disemak semula daripada negatif kepada stabil. Antara faktor yang menyebabkan semakan semula itu adalah kerana Fitch berpendapat langkah rasionalisasi subsidi dan perlaksanaan GST oleh pihak kerajaan bakal menunjukkan kesan yang positif dan menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara.

 

Sungguhpun Fitch memberikan negative outlook kepada Malaysia, agensi rating yang lain seperti Standard&Poors memberikan pendapat yang berbeza yang menyatakan bahawa outlook Malaysia masih lagi di tahap yang stabil. Sejauh mana impak yang dibawa oleh tindakan Fitch terhadap ekonomi Malaysia di mata pelabur asing tidak dapat ditentukan dan saya yakin impaknya hanya minimal.

 

Tambatan Matawang Ringgit kepada US Dollar

Terdapat cadangan untuk menambat Ringgit kepada US Dollar apabila melihat kadar tukaran Ringgit Malaysia ke US Dollar mencecah angka RM4 untuk setiap 1 USD, namun adakah cadangan tersebut sebenarnya dapat menyelesaikan masalah kejatuhan Ringgit Malaysia?

 

Apabila kita menambat Ringgit Malaysia ia tidak bermakna matawang Ringgit tidak akan jatuh lagi, tetapi ia akan menyebabkan Bank Negara Malaysia terikat untuk mempertahankan matawang kita daripada kenaikan atau kejatuhan dengan melakukan transaksi jual dan beli.

 

Sekiranya matawang Ringgit Malaysia semakin menaik berbanding matawang luar, (semakin sedikit RM yang boleh dibeli oleh matawang luar), maka BNM mempunyai tanggungjawab untuk menjual Ringgit untuk mengurangkan kenaikan Ringgit dan supaya Ringgit kembali kepada harga asal tambatan. Ini tidak menjadi masalah kerana BNM hanya perlu menjual matawang domestik.

 

Apabila matawang Ringgit Malaysia semakin menurun seperti masa yang ada sekarang, BNM perlu mempertahankan Ringgit dengan membeli matawang asing, menggunakan foreign reserves yang dimiliki oleh BNM serta menguatkuasakan capital control. Pembelian matawang asing menggunakan reserves akan menyebabkan masalah yang besar kerana foreign reserves yang dimiliki oleh BNM akan susut dengan kadar yang amat pantas, bergantung kepada volatility tukaran matawang asing.

 

Selain itu, cadangan untuk menambat matawang kepada USD dilihat tidak praktikal kerana secara asasnya, ekonomi Malaysia masih kukuh dengan kadar pertumbuhan ekonomi kuarter kedua 2015 yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.9%, melebihi sasaran 4.5%. Dengan kejatuhan Ringgit, pasaran domestik akan terus menjadi pemacu kepada ekonomi negara dan menjadikan barangan eksport Malaysia jauh lebih murah berbanding barangan daripada AS.

 

Seperti yang telah dibincangkan diatas, faktor luaran lebih banyak mempengaruhi pasaran matawang, jadi dengan menambat Ringgit, kita tidak menyelesaikan masalah asal kejatuhan Ringgit iaitu isu bekalan (supply) dan permintaan (demand) minyak dunia serta isu kenaikan kadar interest oleh The Fed pada September atau Disember ini. Kita akan membincangkan dengan lebih lanjut mengenai impak kejatuhan matawang kepada ekonomi domestik pada siri seterusnya.

 

Muhamad Nur Farhan

Penganalisis CAPE

 

Authors

Related posts

*

Top