Keselamatan Ruang Siber, Salah Satu Agenda Malaysia

Cybersecurity-Cop

 

Cybersecurity-Cop

Perniagaan di Malaysia akan menghadapi suatu era baru yang mencabar dalam bidang teknologi maklumat – Internet of Things (IoT).

IoT dijangka akan menghubungkan rangkaian internet yang melangkaui komunikasi mesin-ke-mesin (M2M) seperti sambungan peranti terbenam atau embedded devices.

Menurut penyelidik pasaran dari Gartner, dijangka hampir 26 bilion peranti akan bersambung ke internet pada tahun 2020.

Satu lagi syarikat penyelidikan, IDC meramalkan bahawa pasaran IoT akan meletup kepada  USD 7.1 trilion  (RM29.1 trilion) dalam tempoh enam tahun akan datang.

IoT akan menembusi setiap aspek kehidupan kita dari automasi (kawalan automatik) rumah dan pejabat, keselamatan dan pengawasan, pengangkutan serta penjagaan kesihatan melalui tele-perubatan dan embedded devices.

Kerja dan kehidupan kita akan saling berhubung rapat dan, IoT akan berkembang dengan lebih kukuh. Secara keseluruhannya, banyak industri akan mendapat manfaat daripada kecanggihan IoT – dengan pengurusan sumber yang cekap sehingga ke respon real-time maklumat pasaran.

IoT bakal membawa ledakan yang tidak dapat dijangka dalam teknologi automasi, pastinya juga bakal memberi implikasi terhadap keselamatan siber. Peralihan daripada rangkaian tertutup kepada rangkaian perusahaan IT untuk internet awam berada pada kadar yang membimbangkan.

Hampir semua peranti dan data mereka perlu dilindungi dari penjenayah siber .

Serangan siber telah meningkat secara mendadak sejak sedekad yang lalu, seperti mendedahkan maklumat peribadi dan maklumat rahsia perniagaan, mengganggu operasi kritikal, dan mengakibatkan kerugian yang besar kepada ekonomi.

Menurut anggaran yang baru-baru ini oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, sebuah badan pemikir global, kos kerugian yang dialami oleh ekonomi global yang disebabkan oleh jenayah siber dan pengintipan berjumlah USD 445 bil (RM 1.8tril) setahun.

Jadi bagaimana kita boleh menjadikan Malaysia tempat yang lebih selamat untuk menjalankan perniagaan dalam usaha untuk menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020? Gangguan kepada Prasarana Maklumat Kritikal Negara Malaysia (CNII), kenaikan kos kerana jenayah siber, kecurian data kewangan dan harta intelek akan menyebabkan kerugian kerana pelabur-pelabur merasakan keselamatan bisnes mereka terancam dan tidak selamat.

Ruang siber adalah penting untuk menjamin kemakmuran ekonomi dan keselamatan negara. Bagi Malaysia untuk mencapai revolusi digital global, ia adalah penting untuk melindunginya.

Peranan keselamatan siber adalah untuk menjaga  maklumat rahsia dan infrastruktur telekomunikasi negara kita. Oleh itu, Dasar Keselamatan Siber Negara (NCSP) bertujuan melindungi CNII, yang merangkumi sistem rangkaian maklumat  sepuluh sektor kritikal seperti, pertahanan dan keselamatan negara, perbankan dan kewangan, maklumat dan komunikasi, tenaga, pengangkutan, air, kesihatan, kerajaan, perkhidmatan kecemasan dan juga makanan.

Latihan Keselamatan Siber Seluruh Negara

CyberSecurity Malaysia telah mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan infrastruktur internet selamat dari ancaman siber.

Sepanjang lima tahun yang lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Jabatan Perdana Menteri telah menganjurkan  Latihan Krisis Siber Negara dikenali sebagai X-Maya.

Latihan ini adalah untuk menangani isu ancaman siber yang menimbulkan cabaran serius kepada kesejahteraan ekonomi dan keselamatan negara. CyberSecurity Malaysia juga mengekalkan portal CNII di mana anggota kerja infrastruktur kritikal bersama-sama berkongsi maklumat mengenai isu-isu keselamatan.

Kerjasama serantau

  1. CyberSecurity Malaysia telah mengambil langkah-langkah penting dalam mewujudkan kerjasama rentas sempadan dengan agensi-agensi keselamatan siber serantau. Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani dengan Perkhidmatan Forensik Negara (NFS) dari Korea Selatan untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang pembinaan keupayaan dan pembangunan profesional dalam bidang forensik digital.
  2. Satu lagi MoU telah ditandatangani dengan IT Protective Security Services Brunei (ITPSS) untuk mewujudkan kerjasama dalam bidang penyelidikan forensik digital dan siber dan juga pertukaran maklumat.
  3. Baru-baru ini, sempena CSM-ACE 2015, CyberSecurity Malaysia telah dipilih sebagai Timbalan Pengerusi Asia Pacific Computer Emergency Response Team (APCERT) di samping menjadi sekretariat tetap Organization of Islamic Cooperation- Computer Emergency Response.

Kebergantungan kita yang semakin meningkat kepada teknologi menjadikan perlindungan siber sangat penting kepada semua jenis erniagaan. Kita perlu melihat kaedah keselamatan maklumat dari perspektif holistik dan menggalakkan penggunaan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS), pendekatan yang sistematik dan berstruktur untuk menguruskan maklumat supaya ia kekal selamat.

Kita mesti memastikan rakyat Malaysia bersedia dan sedar akan risiko dan implikasi keselamatan IT. Oleh itu, adalah penting bagi mana-mana organisasi di Malaysia mengguna pakai sistem terbaik seperti ISMS.

Kesimpulan

Akhir sekali, kita perlu mengkaji keupayaan teknologi bagi memiliki suatu strategi pertahanan inovatif yang berkesan dan cekap sebagai persiapan menghadapi apa-apa masalah. Latihan keselamatan siber seperti X-Maya akan memastikan keselamatan siber Malaysia terjamin dan dilindungi.

Keselamatan siber adalah tanggungjawab kita bersama di semua peringkat sama ada sektor kerajaan, swasta mahupun selain darinya. Semua pihak mestilah memainkan peranan penting dalam memastikan ruang siber negara kita lebih selamat, terjamin dan berdaya tahan.

Ancaman baru serta berubah-ubah akan terus datang. Kita mesti sentiasa berhati-hati kerana serangan siber boleh menyerang bila-bila masa. Menjaga keselamatan ruang siber bukan sahaja tentang isu keselamatan negara, tetapi juga menggambarkan kekuatan daya saing Malaysia dalam ekonomi global.

 

Ditulis oleh: Dr Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, pusat pakar keselamatan siber nasional.

 

Terjemahan oleh: Syazana Aqilah

Sumber: TheStar

Authors

*

Top