Menyingkap hubungan China-Israel 1948-1998

China and Israel 1948-1998

Buku China and Israel, 1948-1998; A fifty year retrospective merupakan koleksi kertas kerja yang telah dikumpulkan oleh Jonathan Goldstein. Beliau merupakan ahli akademik yang banyak menulis serta mengumpulkan kertas kerja mengenai hubungan China dan Israel.

Antara buku beliau adalah The Jews of China: Historical and comparative perspective, Jewish Identities in East and Southeast Asia, dan Schmelvis.

Secara keseluruhannya, penulisan beliau menjelaskan pendirian beliau yang pro-Israel berikutan beliau merupakan keturunan Yahudi di Amerika Syarikat. Namun, kertas kerja yang beliau tampilkan dalam buku ini sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam memahami persamaan antara bangsa Yahudi dan bangsa Cina yang menjadikan mereka pemegang kuasa besar dunia menerusi negara China dan Israel.

  1. Bangsa Cina dan Yahudi berkongsi ideologi ‘bangsa terpilih’

Bangsa Cina menganggap mereka adalah ‘bangsa terpilih’ berdasarkan kepada pemikiran Imperial Cina yang membawa kepada konsep zhongguo (Middle Kingdom) yang memperjuangkan China sebagai sebuah negara pusat di alam semesta, dari sudut politik, spiritual dan juga budaya.

Begitu juga dengan bangsa Yahudi yang terkenal dengan konsep ‘bangsa terpilih’ menurut kitab Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa. Menurut bangsa Yahudi, Tuhan telah “memilih mereka di antara semua bangsa”, serta penurunan kitab Taurat sebagai simbol keistimewaan tersebut.

 

  1. Mereka menghadapi penindasan pada tempoh yang lama dan menyebabkan mereka menjadi bangsa nasionalis yang pragmatik.

Buku ini menekankan interaksi antara dua nasionalisme pada abad ke dua puluh satu ini; antara bangsa Yahudi dan bangsa Cina. Jika kumpulan American Protestant bangga dengan “the American way of life” sebagai salah satu manifestasi konsep ‘bangsa terpilih’ menurut bible, bangsa Perancis pula mempromosi “mission civilisatrice (obligation to civilize)” dan bangsa Jerman dengan “universal validity” yang dibawa oleh falsafah Jerman, bangsa Yahudi dan juga Cina juga mempunyai konsep yang sama mengenai ‘bangsa terpilih’.

Sepanjang beratus-ratus tahun zaman penindasan, diskriminasi, kolonialisasi dan kekalahan, kedua-dua bangsa ini mempunyai persamaan yang ketara dalam tuntutan dan keinginan mereka dalam konsep bernegara.

Hal ini membezakan mereka dengan American Protestant, bangsa Perancis dan bangsa Jerman yang tidak pernah mengalami tempoh penderitaan yang lama. Justeru, kedua-dua bangsa; Cina dan Yahudi ini memiliki keinginan untuk diterima oleh masyarakat dunia dan persepsi superiority yang lebih kuat.

Pemahaman ini juga dikuatkan dengan kenyataan yang telah dikeluarkan pada tahun 1945 oleh Duta ROC (Republic of China), Wellington Koo yang memberitahu wakil Zionis, Eliahu Epstein (Elath):

“The Chinese people, too, know the pain of persecution and discrimination based on race or nationality”

Bahkan pada tahun ‘kelahiran’ negara Israel pada tahun 1948, Perdana Menteri pada ketika itu, David Ben-Gurion mengungkapkan petikan Zionis lama bahawa “it is the right of the Jewish people, like other nations, to determine its history under its own sovereignty”.

Zionis bukan sahaja berusaha untuk mewujudkan negara bangsa berdasarkan kepada konsep ideologi Zionis itu sendiri, malah usaha tersebut didorong juga oleh gerakan semitisme di negara yang mereka duduki sebelum ini.

 

  1. Kerjasama Sino-Israel yang terjalin sejak sekian lama

Kerjasama China-Israel sudah pun terbina sejak tahun 1950 ketika rejim komunis mengambil alih pemerintahan China di bawah pentadbiran Jeneral Mao. Pada Oktober 1992, sebuah perjanjian antara China dan Israel telah ditandatangani. Di bawah perjanjian ini, hasil eksport Israel ke China telah mencecah $22.8 juta pada tahun 1991 dan meningkat ke $71.3 juta pada tahun 1997.

Syarikat penerbangan Isarel, El Al Israel Airline dan syarikat penerbangan China, Air China telah aktif menyediakan perkhidmatan antara Tel Aviv dan Beijing sejak sekian lama.

Malah sejak awal 1980 an, sesi dialog besar-besaran sering dilakukan oleh ahli akademik mengenai hubungan Sino-Israeli. Pada Ogos 1992 sebuah simposium hubungan Sino-Judaic telah diadakan di Harvard University yang telah dihadiri oleh Boris Bresler dari Association of Former Jewish Residents of China yang berpusat di Tel Aviv.

 

  1. Polisi campurtangan China di Timur Tengah dan keselamatan Israel

Adalah tidak tepat untuk membuat kesimpulan bahawa China tidak menunjukkan minat terhadap kawasan Timur Tengah. Malah, negara tersebut berjaya memainkan peranan yang signifikan dalam mengawal keselamatan rantau tersebut. Ketenteraan China telah menghantar bantuan ketenteraan seperti teknologi dan peralatan bagi menyokong beberapa gerakan liberalisasi di beberapa buah negara Arab. Tindakan tersebut juga dilihat berjaya membantu bagi memelihara keselamatan Israel.

Sejak awal 1960 an, China telah memberi bantuan kepada beberapa gerakan liberalisasi seperti Dhofar Liberation Front (sekarang dikenali sebagai People’s Front for the Liberation of Oman and the Arabian Gulf ) yang beroperasi di Arab Saudi, kumpulan pemberontak Anya Nya di selatan Sudan, dan juga Fatah dan Palestine Liberation Organization (PLO) di Palestin. Bantuan yang disalurkan berbentuk senjata ketenteraan yang mencapai nilai $5 juta. Israel dan China juga menyatakan kebimbangan yang sama terhadap peningkatan Islamic Fundamentalism di Asia Tengah.

 

Kesimpulannya, buku ini berjaya merungkai kerjasama erat antara China dan Israel selama lima puluh tahun (1948-1998). Walaupun kebanyakan kertas kerja yang dihuraikan menunjukkan bahawa lebih banyak sumbangan China kepada pembangunan Israel dan bukan sebaliknya, tetapi pendedahan ini merupakan permulaan yang baik bagi mengkaji sumbangan Israel kepada China yang membantu China menjadi salah satu kuasa besar dunia pada hari ini.

Oleh:

Nur Hanis Mohamad Noor merupakan penganalisis IRIS Institute dan kolumnis Majalah FOCUS. Beliau merupakan pelajar tahun ketiga di Michigan State University, USA dalam jurusan Genomics and Molecular Genetics beserta minor dalam bidang Sociology dan Science, Technology, and Environment Public Policy (STEPP). Beliau juga aktif dalam aktiviti sukarela di peringkat antarabangsa yang turut melibatkan perlaksanaan polisi awam di Amerika Syarikat, Vietnam, Myammar dan juga Malaysia menerusi badan-badan bukan kerajaan dan kelab yang beliau sertai. Kini, beliau sedang mengambil kursus kewartawanan dalam bidang penulisan di Open Universities Australia.

Authors

*

Top