‘Pembersihan Muslim’ Besar-Besaran di Republik Afrika Tengah

Orang ramai berdiri di samping jenazah Muslim yang terbunuh dalam serangan. AFP PHOTO/ SIA KAMBOU
Orang ramai berdiri di samping jenazah Muslim yang terbunuh dalam serangan. AFP PHOTO/ SIA KAMBOU

Orang ramai berdiri di samping jenazah Muslim yang terbunuh dalam serangan. AFP PHOTO/ SIA KAMBOU

Menurut sebuah laporan oleh Amnesty International, orang-orang Islam yang kembali ke penempatan yang sedang melalui proses ‘pembersihan etnik’ oleh golongan militia telah dipaksa untuk meninggalkan agama mereka. Golongan militia tersebut telah menggunakan kekosongan politik yang sedang berlaku di Republik Afrika Tengah untuk menghapuskan minoriti Islam di negara itu.

Komuniti Islam yang tinggal di kawasan luar daripada penempatan yang dilindungi oleh tentera UN menjadi sasaran kumpulan anti-balaka tersebut. Ancaman bunuh telah diberikan kepada orang-orang Islam yang enggan tunduk kepada perintah mereka. Orang-orang Islam tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang perbuatan yang melambangkan agama Islam. Sebahagian daripada mereka juga dipaksa untuk menganut agama Kristian dan keengganan berbuat perkara sedemikian akan berakhir dengan kematian.

Bagi ahli-ahli anti-balaka yang terdiri daripada golongan animis dan pejuang Kristian, tindakan mereka terhadap minoriti Islam di negara tersebut adalah disebabkan oleh gerakan Seleka yang kebanyakan ahlinya terdiri daripada orang Islam. Untuk menjatuhkan gerakan tersebut, mereka perlu melakukan tindakan yang lebih keras iaitu dengan melakukan pembersihan etnik yang bertujuan untuk memaksa orang Islam keluar daripada republik tersebut.

Krisis politik yang berlaku di negara ini sejak Mac 2013 yang lepas telah mengorbankan lebih 6000 orang. Masjid-masjid telah banyak dimusnahkan dan hanya beberapa bangunan suci tersebut yang berada di sekitar kawasan Bangui dan Carnot yang berada dalam proses membaikpulih. Menurut laporan oleh Amnesty International itu lagi, kemusnahan institusi Islam di negara tersebut merupakan petanda yang jelas tentang kekuasaan anti-balaka.

Amnesty International menambah lagi dalam laporan mereka bahawa punca utama berlakunya ‘pembersihan etnik’ ini adalah disebabkan oleh keselamatan negara mereka yang tidak terjaga.

Kerajan Republik Afrika Tengah, kumpulan UN yang dihantar ke negara tersebut dan komuniti antarabangsa telah diminta untuk membantu dalam memastikan komuniti Islam yang semakin berkurang di negara itu selamat daripada militia anti-balaka supaya mereka dapat kembali ke tanah dan perkampungan mereka.

Di Tunisia, empat kerajaan Afrika yang terdiri daripada Congo, Chad, Cameroon dan Guinea telah mengharamkan pemakaian niqab di kawasan tersebut selepas serangan oleh kumpulan Boko Haram baru-baru ini. Menurut mereka, pemakaian niqab itu adalah satu ancaman terhadap keselamatan dalam negara mereka. Kebanyakan kejadian pengeboman berani mati yang berlaku di negara itu dilakukan oleh wanita-wanita muda yang memakai niqab.

Congo Brazaville, di mana 80 peratus penduduknya terdiri daripada orang Kristian merupakan kerajaan yang pertama sekali mengharamkan pemakaian niqab walaupun kawasan mereka itu telah bebas daripada serangan oleh Boko Haram. Kerajaan tersebut telah meminta kepada Islamic Council untuk meyakinkan rakyat tentang tindakan mereka itu adalah satu cara untuk menghentikan keganasan yang berlaku di negara itu.

Chad juga turut mengambil langkah yang sama dengan mengharamkan pemakaian niqab setelah bandar  mereka dikejutkan dengan dua pengeboman berani mati pada 15 Jun yang lalu. Di Cameroon pula, Gabenor kawasan Littoral, Joseph Beti Asomo berkata bahawa pengharaman niqab akan mengurangkan risiko kemasukan oleh kumpulan militan ke dalam kawasan mereka yang menempatkan Doualla, yang merupakan sumber modal ekonomi di Cameroon.

Presiden Guinea, Alpha Conde telah mengumumkan pengharaman niqab pada minggu lepas untuk meningkatkan lagi perjuangan mereka dalam menentang keganasan. Menurut Conde, kebanyakan serangan berani mati di negara itu dilakukan oleh orang-orang berpakaian hitam, memusnahkan harta benda di atas nama Islam walhal tindakan tersebut sama sekali tidak ada kena mengena dengan Islam itu sendiri. Oleh sebab itu, beliau memutuskan untuk mengharamkan pemakaian niqab. Conde juga merancang untuk melaksanakan debat antarabangsa yang melibatkan isu-isu penduduk di Guinea. Perdebatan tersebut penting untuk memastikan negara tersebut dapat terus maju ke hadapan.

 

Susunan: Shamimi Amlee

Sumber: al-Jazeera, WorldBulletin, AA

Authors

*

Top