Pencapaian Masyarakat Melayu Sarawak dalam Bidang Pendidikan Sebelum dan Selepas Merdeka

300px-Sarawak_$

Negeri Sarawak mempunyai susur galur pemerintahan yang bersilih ganti bermula dengan pemerintahan Kesultanan Brunei sekitar abad ke-15 sehinggalah kedatangan Brooke pada 1839, yang memerintah Sarawak dua tahun kemudian. Perkembangan pendidikan masyarakat Melayu Sarawak telah berlaku sejak negeri itu berada di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei yang mana proses pendidikan berlaku secara tidak formal dengan kewujudan sistem pendidikan tradisional.

Hal-hal keagamaan, bacaan al-Quran dan jawi diajar oleh tok guru di masjid, surau atau rumah tok guru. Sewaktu zaman James Brooke memerintah, beliau tidak begitu menitikberatkan soal-soal pendidikan terhadap masyarakat bumiputra Sarawak.   Justeru, tidak ada sebuah sekolah kerajaan yang diwujudkan pada waktu itu. Berlainan setelah Raja Kedua Sarawak iaitu Charles Brooke yang berminat menubuhkan sekolah kepada kaum pribumi Sarawak termasuk masyarakat Melayu. Sekolah tajaan kerajaan pertama yang dibina untuk masyarakat Melayu ialah pada 21 Jun 1883 dengan nama Sekolah Abang Kassim. Seterusnya, beberapa buah sekolah telah dibuka. Mata pelajaran yang diajar ialah agama, membaca dan menulis, asas kira-kira, ilmu alam dan tawarikh. Murid-murid juga berpeluang mempelajari bahasa Inggeris.

Akhirnya pada tahun 1903, Kolej Kebangsaan Sarawak telah dibuka melalui dasar pelajaran untuk kaum bumiputra yang diperkenalkan oleh Charles Brooke. Namun kehadiran  murid kurang memberangsangkan. Kedatangan pelajar ke sekolah-sekolah tersebut bersifat turun naik akibat pelbagai faktor. Hal ini terdorong oleh perasaan sangsi dan curiga dalam kalangan ibu bapa terhadap pendidikan sekular yang diajar di sekolah-sekolah Melayu pada waktu itu meskipun terdapat pendidikan agama Islam yang turut diajar di sekolah-sekolah terbabit.

Oleh yang demikian, ramai anak-anak Melayu keciciran dalam bidang pendidikan. Selain itu, terdapat juga ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah namun tidak menamatkan sesi pengajian sehingga darjah teratas kerana berpendapat anak-anak akan bekerja di kampung sebagai petani dan nelayan juga. Ketiadaan sistem daftar masuk yang sistematik, sistem penilaian yang seragam apabila keputusan peperiksaan murid merosot dan kekurangan guru yang berkelayakan telah menjadi sebahagian faktor penyumbang kepada kemerosotan kehadiran murid ke sekolah-sekolah Melayu. Tidak terkecuali juga dengan sikap anak-anak yang kurang berminat, peranan ibu bapa yang tidak mementingkan persekolahan anak-anak dan hubungan kerjasama antara ibu bapa dan guru yang kurang pada waktu itu menjadi penghalang kepada kehadiran anak-anak Melayu ke sekolah.

Pendudukan Jepun di Sarawak bermula Disember 1941 hingga September 1945 telah menyebabkan perkembangan pendidikan terhenti dan kemusnahan sekolah-sekolah. Setelah Jepun meninggalkan Sarawak, pelbagai usaha giat dijalankan untuk memulihkan sistem pendidikan pada waktu itu, Satu perkembangan menarik apabila kaum Melayu telah mengambil langkah mewujudkan sekolah-sekolah rakyat.

Pembukaan sekolah-sekolah ini diusahakan oleh golongan anti penyerahan yang meletak jawatan sebagai guru di sekolah kerajaan kerana menentang penyerahan Sarawak kepada pihak British. Namun perkembangan sekolah ini terhenti akibat ketiadaan sistem daftar masuk  dan berhenti yang sistematik yang menyebabkan beberapa buah sekolah terpaksa ditutup akibat kekurangan murid. Selain itu, golongan cerdik pandai Melayu pada waktu itu telah menyedarkan masyarakat Melayu tentang kepentingan pendidikan. Manakala kesedaran masyarakat Melayu untuk terus maju dalam bidang pendidikan turut ditiup oleh akhbar Melayu tempatan iaitu Utusan Sarawak. Namun begitu, jurang perbezaan yang besar antara kaum masih berlaku dengan pelajar Cina mencatatkan jumlah yang ramai sebanyak 16.3% berbanding pelajar Melayu sebanyak 3.8% dan 1.8% adalah pelajar kaum Dayak dan bumiputera lain.

Setelah Sarawak berada di bawah jajahan British (1946-1963), penjajah berhasrat untuk menjadikan pendidikan sebagai alat untuk menyatukan penduduk yang berbilang bangsa dan merapatkan jurang pendidikan antara mereka. Walaupun sambutan kaum Melayu terhadap penubuhan sekolah rakyat pada waktu itu bertambah namun masih terdapat perbezaan jumlah pelajar yang ketara berbanding jumlah pelajar Cina.

Pertambahan pelajar Cina dalam bidang pendidikan adalah kerana  sikap hormat dan minat yang tinggi terhadap pelajaran di samping azam mereka untuk menjawat jawatan yang baik dalam kerajaan. Sikap kaum Cina sebenarnya di bawa dari negara asal mereka kerana pada waktu itu, masyarkat Cina di Sarawak masih menunjukkan taat setia kepada negara asal mereka tanpa menghiraukan situasi dan suasana semasa yang berlaku dalam negeri. Bantuan untuk mengendalikan sekolah-sekolah, guru-guru untuk mengajar diterima dari tanah besar China termasuklah silibus dan buku teks.

Pada zaman pemerintahan British sekitar tahun 1948, strategi kerajaan British memperkenalkan kaedah “Bantu diri” yang cuba melepaskan tanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak. Pihak Lembaga Tempatan telah diberikan tanggungjawab untuk menguruskan sekolah di kawasan amasing-masing walaupun terpaksa menghadapi pelbagai kesusahan dan kekurangan. Hanya Lembaga Tempatan yang ditadbir oleh komuniti-komuniti tertentu sahaja yang mampu meneruskan persekolahan kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi.

Berlaku pembaharuan dalam pendidikan masyarakat Melayu Sarawak setelah Sarawak mencapai kemerdekaan dengan menyertai Malaysia pada 16 September 1963. Terdapat beberapa pengecualian yang dijadikan syarat kepada kemasukan Sarawak ke dalam Malaysia. Antaranya ialah, sistem pentadbiran yang sedia ada di Sarawak tidak boleh diubah dan hendaklah kekal di bawah kerajaan negeri sehingga dipersetujui sebaliknya, dasar mengenai bahasa Inggeris patut diteruskan, pengetahuan bahasa Melayu tidak boleh dijadikan sebagai syarat untuk mendapatkan peluang-peluang pendidikan, kerajaan Persekutuan tidak boleh menguatkuasakan syarat mengenai pendidikan agama dan peraturan negeri terhadap kedudukan istimewa kaum bumiputra haruslah diteruskan.

Dari segi pendidikan, sistem pendidikan di Sarawak telah melalui proses pengubahsuaian ke arah Dasar Pendidikan Kebangsaan.Pada tahun 1966, sistem sekolah percuma telah diperkenalkan di peringkat sekolah rendah dan hasilnya, berlaku pertambahan kemasukan pelajar ke sekolah rendah. Pelbagai usaha dipergiatkan untuk melatih guru-guru bahasa Melayu bagi sekolah-sekolah Sarawak. Seramai 90 orang bakal guru bahasa Malaysia telah dihantar ke Semenanjung Malaysia pada tahun 1972 untuk mendapatkan latihan yang mencukupi dan semua guru-guru pelatih di maktab-maktab Perguruan di Sarawak wajib lulus bahasa Malysia sebagai satu syarat untuk mendapatkan Sijil Perguruan. Menjelang tahun 1982, semua Sekolah Kerajaan dan Sekolah Inggeris Bantuan Kerajaan telah ditukar kepada Sekolah Rendah Kebangsaan. Pelbagai usaha dipergiatkan untuk melatih guru-guru bahasa Melayu bagi sekolah-sekolah Sarawak.

Bahasa Melayu telah  diangkat sebagai bahasa pengantar di semua Sekolah Rendah Kebangsaan sebagai satu usaha memupuk semangat kesatuan antara pelbagai kaum khususnya di Sarawak dan di Malaysia amnya. Selain itu, penyertaan masyarakat pelbagai kaum dalam bidang pendidikan semakin bertambah sejak Sarawak merdeka. Pemanjangan Akta Pendidikan 1961 ke Sarawak pada tahun 1976 membolehkan kelebihan kepada murid-murid Melayu untuk belajar pelajaran agama Islam. Seksyen 36(i) Akta Pendidikan 1961 menetapkan bahawa mana-mana sekolah yang mempunyai 15 orang atau lebih murid Islam, maka murid-murid ini mesti diajar pelajaran agama oleh seorang guru Islam.

Kepentingan pendidikan di peringkat tinggi turut ditekankan setelah kemasukan Sarawak ke dalam Malaysia. Beberapa cawangan Pusat Pengajian Tinggi telah dibuka antaranya ialah Kampus Cawangan Institut Teknologi MARA pada tahun 1973 dan Universiti Pertanian Malaysia pada tahun berikutnya. Setelah itu, beberapa buah lagi IPT dibuka termasuklah UNIMAS pada tahun 1992.

Setelah merdeka, pelbagai pembaharuan yang telah dijalankan oleh kerajaan Malaysia dalam bidang pendidikan termasuk di Sarawak. Pendidikan merupakan salah satu wadah untuk mewujudkan perpaduan antara kaum yang wujud di negeri ini. Peluang yang terbuka luas untuk semua kaum menimba ilmu seharusnya direbut oleh masyarakat pelbagai kaum termasuklah masyarakat Melayu. Dengan wujudnya pelbagai bantuan dalam bentuk kewangan dan biasiswa, generasi muda pada hari ni sepatutnya merebut peluang yang terbentang luas untuk meneruskan kelansugan hidup mereka pada masa hadapan. Kesungguhan orang-orang Melayu yang dahulunya bertungkus lumus menguruskan sekolah rakyat walaupun menghadapi pelbagai masalah dan kekangan, patut dijadikan iktibar oleh kita pada hari ini. Dewasa ini, hanya orang yang bijak merebut peluang akan berjaya menempatkan diri mereka “berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dengan bangsa-bangsa lain yang ada di dunia pada hari ini.
Oleh,
Nor Atikah Bt Mohamad
MD UNIMAS

Penganalisis IKB
Rujukan:

Pencapaian Masyarakat Melayu Sarawak Dalam Bidang Pendidikan Sebelum Dan Selepas Merdeka oleh Najihah Binti Abdul Mutalib (Pensyarah di Jabatan Sains Sosial, Fakulti Sains Pertanian & Makanan, UPM Kampus Bintulu Sarawak)

Authors

*

Top