PERJUANGAN MENDAULATKAN ISLAM DALAM MEMBENTUK SEBUAH NEGARA MERDEKA

Agama Islam merupakan agama persekutuan bagi Tanah Melayu yang hari ini dikenali sebagai Malaysia. Islam yang terkandung di dalam perlembagaan adalah manifestasi kepercayaan dan pegangan majoriti penduduk Malaysia, iaitu bangsa Melayu. Isu berkaitan Islam terutama yang berkaitan perlembagaan merupakan isu sensitif, kerana orang Melayu mempunyai kepercayaan bahawa Islam tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan seharian mereka. Walaupun soal kepercayaan dan keimanan adalah urusan seseorang, namun dalam konteks Malaysia, perkara ini boleh memberi kesan kepada ketenteraman awam khususnya yang melibatkan ketegangan antara kaum seperti dalam kes Natrah pada tahun 1950 dan Nur Aisyah pada tahun 1998 [1].

Agama Islam telah menjadi agama orang Melayu sejak lebih dari 500 tahun dahulu. Orang Melayu dikatakan mula memeluk Islam bermula dengan proses kedatangan dan dakwah oleh pedagang Arab pada awal kurun ke-15 lagi. Orang Melayu juga telah berperang pada masa lampau menentang kuasa-kuasa penjajah Eropah seperti Portugis dan Belanda bagi mempertahankan agama mereka. Setelah Portugis dan Belanda meninggalkan negeri ini yang seterusnya diambil alih oleh British, soal agama Islam tidak lagi menerima gangguan secara terang-terangan.

Gambar 1

Gambar 1: Kedatangan Portugis ke Melaka

Usaha pihak British untuk mengubah peranan mereka daripada hanya sekadar penasihat kepada pentadbir negara ini adalah dengan cara memperkenalkan Malayan Union dalam tahun 1946. Walaupun begitu, urusan adat istiadat orang Melayu dan Agama Islam masih lagi tidak dicampuri oleh mereka dan meletakkan sepenuhnya kepada Raja-raja Melayu tanpa gangguan. Dengan yang demikian,  perkara 3 Perlembagaan Malaysia yang mengisytiharkan bahawa ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan’ membayangkan apa yang telah dipertahankan oleh orang Melayu sejak dari dahulu lagi dengan darah, harta dan air mata, iaitu kedaulatan mutlak Islam di bumi mereka. Perjuangan ini telah bermula sebelum kuasa British masuk ke Tanah Melayu lagi [2] .  Nama-nama seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Paloh dan Tok Janggut yang didorong oleh semangat jihad untuk menegakkan agama Islam di bumi Melayu ini merupakan sebahagian daripada bukti jelas perjuangan orang Melayu yang tidak dapat lari dari roh Islam yang mereka miliki.

Bukti-bukti sejarah jelas menunjukkan bahawa Islam telah bertapak lama di Tanah Melayu. Malah, Islam telah menjadi satu budaya yang berakar-umbi dalam kalangan orang Melayu. Ini dapat dilihat melalui penerapan idea-idea Islam dalam kehidupan seharian mereka seperti tulisan Jawi dan anggapan bahawa orang bukan Islam yang memeluk agama Islam dianggap ‘masuk Melayu’,.Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa kedudukan agama Islam sedikit sebanyak telah tergugat dengan pencerobohan penjajah yang mempunyai agenda mereka yang bukan sekadar untuk menguasai ekonomi tetapi juga ingin menyebarkan agama Kristian. Perjuangan mendapatkan kembali kedudukan agama Islam di negara ini menemui sedikit kejayaan dengan pengisytiharan dalam perlembagaan bahawa “Islam ialah agama Persekutuan”. [1]

Menjelang Kemerdekaan

Dr Burhanuddin al-Helmy (Yang Di-Pertua PAS), telah berucap pada 24 Ogos 1957, iaitu seminggu sebelum tarikh kemerdekaan, yang menekankan kepentingan untuk meletakkan Islam dan kebangsaan Melayu sebagai teras utama kemerdekaan.

“….. cintakan cita-cita Islam berdiri di atas bumi pusaka kita ini dengan rupa bangsa dan kebangsaan Melayunya. Maka atas hasrat iman cita-cita Islam dan kebangsaan Melayu itulah dasar suci perjuangan kita…. PAS berjuang kerana kebebasan dan kemerdekaan dengan dasar demokrasi… kemerdekaan bagi PAS adalah kemerdekaan bangsa dan negara dan setelah berjalan hukum-hukum Islam pada orang perseorangan, masyarakat dan negara.” [3]

Gambar 2

Gambar 2: Dr Burhanuddin al-Helmy

Ucapan ini muncul pada waktu yang sangat tepat bagi mengingatkan bakal pimpinan negara pada masa itu (Parti Perikatan) akan dua asas penting yang harus ada dalam membentuk Tanah Melayu yang merdeka, iaitu; Islam dan Kebangsaan Melayu.

Pada Mac 1956, Suruhanjaya Reid telah membuka ruang kepada rakyat Tanah Melayu termasuk orang Dagang pada masa itu untuk menghantar memorandum masing-masing dalam proses merangka perlembagaan. PAS turut menghantar tuntutan mereka. Antara isi penting memorandum yang mempunyai tiga halaman itu ialah Islam harus diletakkan sebagai agama Persekutuan dan Perdana Menteri yang bakal dilantik mestilah beragama Islam. [3] Malah, dalam Mesyuarat Agung Tahunan Yang ke-5 parti itu pada Disember 1956 telah memutuskan untuk menjadikan Islam yang berdasarkan al-Quran, Hadith dan Ijma’ Ulama sebagai panduan utama dalam pentadbiran Negara. [4]

Setelah syor suruhanjaya Reid dihebahkan, nyata banyak daripada syor yang terkandung itu dilihat merugikan orang Melayu dan kedudukan Islam. PAS menyatakan bantahan terhadap suruhanjaya itu dengan perhimpunan 2000 orang di Kuala Terengganu. Dalam perhimpunan itu, Dr Burhanuddin menyatakan syor suruhanjaya itu telah menghapuskan kedaulatan bangsa Melayu dan telah mengenepikan kedudukan tertinggi agama Islam dalam perlembagaan negara. [4]

Gambar 3

Gambar 3: Ahli-ahli suruhanjaya Reid selepas majlis makan malam di rumah Tan Cheng Lock

 Ketika cadangan suruhanjaya Reid, UMNO yang boleh dikatakan mewakili sebahagian besar suara orang Melayu pada masa itu berdasarkan kemenangan besar Perikatan pada Pilihanraya Umum 1955, juga telah berusaha mengemukakan beberapa tuntutan tentang kedudukan agama Islam dalam memorandum mereka. Mereka telah menggariskan bahawa agama bagi Tanah Melayu itu hendaklah agama Islam. Walaupun tiada tegahan untuk orang bukan Islam menganut agama dan kepercayaan masing-masing, tetapi ini masih tidak membawa Tanah Melayu sebagai sebuah Negara Sekular.

Kenyataan ini sekaligus menafikan kenyataan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1958 dalam satu sidang Parlimen yang menyifatkan bahawa Tanah Melayu merupakan sebuah Negara Sekular dan kenyataan beliau yang dipetik dalam akhbar The Star pada tahun 1983 yang tidak mahu Malaysia dijadikan Negara Islam. [5] Kenyataan daripada bekas perdana Menteri ini sendiri bolehlah dianggap sebagai kenyataan dan kepercayaan peribadi beliau. Ini langsung tidak menafikan hakikat bahawa perlembagaan Malaysia hari ini masih mengiktiraf agama Islam sebagai agama Persekutuan. Ini juga dapat dilihat daripada takrif ‘Melayu’ yang dimaksudkan dalam memorandum mereka kepada Suruhanjaya Reid iaitu: [5]

(a)  Menganut Agama Islam.

(b)  Beradat resam Melayu

(c)   Bercakap Bahasa Melayu

 

Kesimpulan

Artikel 3 dalam Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”. [7] Selain itu, kedudukan agama Islam juga dinyatakan dalam beberapa perkara lain yang terkandung di dalam perlembagaan seperti artikel 8, 11, 12, 121 dan 150. [1]

Perkara ini seperti dinyatakan dalam pendahuluan artikel ini, adalah satu bukti jelas kaitan kedudukan agama Islam dengan pembinaan Negara Malaysia yang merdeka pada hari ini. Seperti mana mustahil untuk memisahkan Islam daripada orang Melayu, seperti itulah juga mustahil untuk memisahkan Islam daripada Negara yang kita sayangi dan cintai pada hari ini. Kedudukan Islam sebagai agama yang tertinggi di Malaysia merupakan satu hakikat yang tidak berubah sampai bila-bila.

Perjuangan wira-wira negara yang terdahulu, sama ada yang didendang atau tidak didendang untuk menegakkan Islam nyata bukanlah mudah. Tokoh seperti Dr Burhanuddin al-Helmy yang tegar dan konsisten dalam menuntut kedaulatan Islam dan kedaulatan bangsa Melayu di Tanah Melayu yang akan merdeka pada masa itu menyebabkan beliau dipinggirkan oleh koloni British dalam rundingan dan kesepakatan dalam membentuk kemerdekaan. UMNO, yang telah dipilih oleh British untuk memimpin negara ini selepas penerimaan rakyat berjaya memasukkan status agama Islam sebagai agama Persekutuan. Hasil usaha ikhlas golongan pejuang terdahulu, Malaysia telah dilindungi daripada anasir-anasir yang mahu mengubah kedudukan Islam kepada kedudukan yang lebih rendah daripada kedudukannya pada hari ini.

Tiada yang lebih penting bagi generasi hari ini untuk mempertahankan perlembagaan yang ada pada hari ini sekurang-kurangnya daripada diancam dan digugat oleh musuh-musuh Islam dan Negara.

Rujukan

[1] N. Muslim and H. Buang, “Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan Dari Perspektif Hubungan Etnik di Malaysia,” Jurnal Kemanusiaan, pp. 115-129, 2011.
[2] A. R. Mahmood, K. H. Salleh, A. S. Long and F. Badaruddin, “Penerimaan Bukan Islam Terhadap Proses Islamisasi di Malaysia,” Jurnal Hadhari, vol. 2, pp. 33-51, 2009.
[3] R. Adam, Burhanuddin Al-Helmy: Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003.
[4] I. Said, Menegak Agama Membela Bangsa, Kuala Lumpur: Unit Buku Harakah, 2011.
[5] I. Muhamad, “Ummatan Wasatan,” 21 Jun 2014. [Online]. Available: http://ummatanwasatan.net/2014/06/malaysia-bukan-sebuah-negara-sekular-pakar/. [Accessed 6 September 2014 September 2014].
[6] A. M. H. Ahmad, Kontrak Sosial, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors, 2009.
[7] “Perlembagaan Persekutuan,” Percetakan Nasional Malaysia Berhad, Kuala Lumpur, 2009.

 

oleh:

fahmi bahrudin

Zul Fahmi Bahrudin
Penganalisis Politik & Sejarah
IRIS INSTITUTE

Authors

Related posts

*

Top