Qatar, Majlis Ulama Arab Saudi Mengutuk Tindakan Israel ke atas Masjid Al-Aqsa

israeli-riot-police-outside-al-aqsa-mosque

israeli-riot-police-outside-al-aqsa-mosque

Tindakan anggota polis Israel serta sekumpulan pelampau Yahudi memasuki kawasan pekarangan Masjid Al-Aqsa Ahad lalu terus mendapat perhatian dan bantahan kuasa luar. Mereka bukan sahaja sekadar masuk ke perkarangan masjid itu, malah turut mencederakan berpuluh-puluh orang Palestin yang datang beribadah.

Isu yang berlaku Ahad lalu telah mendapat perhatian Qatar. Qatar mengkritik tindakan polis Israel serta pelampau Yahudi berkenaan isu pencabulan Masjid Al-Aqsa dan turut menyeru Israel untuk menghentikan perbuatan haram mereka ke atas tanah suci ketiga bagi umat Islam, agensi Anadolu melaporkan.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Qatar mengatakan: “Qatar sekeras-kerasnya mengutuk tindakan Israel yang berterusan melakukan tindakan keganasan di Jerusalem.”

Mereka turut menyifatkan serangan ke atas Masjid Al-Aqsa yang dilancarkan oleh orang Israel tersebut sebagai tindakan yang menimbulkan kemarahan umat Islam.

Pengurus Masjid Al-Aqsa, Omar Al-Kiswani sebelum ini pernah melaporkan kepada Anadolu bahawa Menteri Pertanian Israel, Uri Ariel dan sekitar 120 orang pendatang Yahudi telah memecah masuk ke dalam Masjid Al-Aqsa pada ulangtahun kejatuhan Kuil Mount.

Majlis Ulama Arab Saudi turut mengecam

Selain daripada Qatar, Majlis Ulama Arab Saudi turut mengutuk keganasan yang telah dilakukan Israel di perkarangan Masjid Al-Aqsa yang terletak di Timur Jerusalem. Menurut badan ini, “Keganasan yang telah dilakukan oleh penduduk Israel terhadap orang Islam yang berada di dalam masjid ketika itu serta pencabulan ke atas masjid tersebut… merupakan tindakan provokasi ke atas umat Islam serta mencabuli hak asasi manusia.”

Majlis Ulama itu juga menyeru komuniti di seluruh dunia untuk menerima pakai definisi “keganasan” dan mengelakkan diri daripada berlaku “berat sebelah” ketika menjelaskan tindakan tentera rejim Zionis. Sambung mereka lagi, tentera Israel menggunakan “keganasan negara” yang didakwa “lebih berbahaya berbanding jenis-jenis keganasan yang lain.

PBB turut tidak berpuas hati

Pada hari berikutnya, utusan PBB bagi Timur Tengah, Nickolay Mladenov turut sama meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan pendatang Yahudi yang mengandungi unsur-unsur provokasi. Kata beliau, “Saya menyeru semua pemimpin agama dan politik untuk sama-sama membanteras unsur-unsur yang ekstrem daripada mencemari kesucian tanah suci ini.”

Kawasan Masjid Al-Aqsa telah menjadi rebutan antara orang Islam dan golongan Yahudi, sehingga menimbulkan kontroversi yang berpanjangan selama beberapa dekad.

Bagi orang Islam, Masjid Al-Aqsa adalah tanah suci ketiga di dunia, sementara bagi golongan Yahudi, mereka menganggap tapak Masjid Al-Aqsa sebagai tapak Kuil Mount dan mendakwa dahulunya ia adalah tapak asal kuil Yahudi.

Israel telah memasuki Timur Jerusalem pada 1967 ketika Perang Timur Tengah. Pada 1980 mereka mengumumkan kawasan tersebut sebagai salah satu daripada ibu negeri Israel satu tindakan yang tidak pernah dipersetujui oleh komuniti di seluruh dunia.

 

Susunan : Wan Khairunnisa
Sumber : MEM[1][2]

Authors

Related posts

*

Top