Sejarah dan Perkembangan Gerakan Kristianisasi di Sarawak

165438

Gerakan kristianisasi di Sarawak telah bermula sejak tahun 1848 bahkan lebih awal, dengan kedatangan Francis Thomas Mcdougall di atas jemputan James Brooke. Francis Mcdougall merupakan seorang doktor perubatan yang bermazhab Anglican dan merupakan pengasas bagi Mazhab Anglican di Sarawak. Beliau memulakan aktiviti missionaries pertamanya di Sarawak dengan menubuhkan Borneo Church Mission.

Sasaran awal bagi gerakan ini adalah orang-orang Melayu di Sarawak. Francis Mcdougall merupakan orang pertama yang membuka sekolah formal bagi anak-anak Melayu sebagai cara untuk memudahkan dakyah Kristianisasi terhadap anak-anak Melayu. Beliau telah membina sekolah-sekolah, gereja-gereja dan dispensari bagi menyebarkan agama Kristian dalam kalangan masyarakat Sarawak.

Bagi tujuan untuk menggencarkan lagi penyebaran agama Kristian dalam kalangan masyarakat Melayu di Sarawak, Francis Mcdougall telah menjemput Melayu Kristian dari Singapura untuk berdakyah kepada orang Melayu. Namun begitu, usahanya gagal apabila pemimpin Melayu dan masyarakat Melayu menentang tindakan tersebut. Setelah gagal dengan usaha tersebut, Francis Mcdougall meneruskan usaha dakyahnya dengan membuka sekolah untuk anak-anak Melayu serta menyebarkan buku panduan agama Kristian dalam bahasa Melayu kepada masyarakat.

Setelah usaha kristianisasi terhadap orang Melayu menemui kegagalan, Francis Mcdougall seterusnya mengalih sasaran kepada masyarakat pribumi dan Cina di Sarawak. Usaha penyebaran agama Kristian oleh beliau dalam kalangan masyarakat tersebut membuahkan hasil. Beliau menggunakan sebaik-baiknya kelebihan beliau sebagai doktor perubatan bagi menarik minat masyarakat tempatan untuk menerima Kristian dengan menubuhkan klinik perubatan selain mengambil anak angkat serta mendamaikan pergaduhan yang berlaku dalam masyarakat di Sarawak.

Pada tahun 1881, Charles Brooke telah menjemput tokoh kristianisasi yang daripada mazhab Katolik ke Sarawak setelah kegagalan Missionaries Anglican menyebarkan dakyah ke bahagian lain di Sarawak. Father Edward Dunn, menjadi antara nama besar yang berjaya menyebarkan agama Kristian di Sarawak. Beliau merupakan salah seorang tokoh missionaries yang bermazhab Katolik. Beliau sangat berkemahiran dalam bidang pertanian dan kelebihan ini dimanfaatkan oleh beliau semaksima mungkin untuk menarik minat masyarakat Iban di pedalaman terhadap agama Kristian. Aktiviti kristianisasi seterusnya tertumpu di bahagian kedua sarawak iaitu di Sarikei dan juga Saribas.

Keluarga Brooke sangat menyokong dan memberi dorongan terhadap penyebaran agama Kristian di setiap bahagian di Sarawak tanpa mengira denominasi mazhab, walaupun keluarga mereka sendiri merupakan Kristian yang bermazhab Anglican. Keluarga Brooke pada ketika itu memberi jaminan terhadap keselamatan missionaries Kristian serta meyakinkan para missionariesbahawa tidak akan ada tentangan daripada pemimpin Islam terhadap usaha kristianisasi yang mereka lakukan. Di samping menyebarkan agama Kristian dalam masyarakat, Father Edward Dunn juga telah berjaya menubuhkan beberapa buah sekolah missionaries di Sarawak. Antaranya, Sacred Heart di Sibu, St Teresa dan St Joseph di Kuching.

Antara mazhab Kristian utama lain yang terdapat di Sarawak, antaranya adalah Gereja Methodist Sarawak, Sevent-Day Adventist dan juga SIB (Sidang Injil Borneo).

Borneo Evangelical Mission (BEM) ataupun Sidang Injil Borneo (SIB) telah diasaskan di Melbourne pada tahun 1928. Sasaran awal gerakan ini adalah masyarakat Murut (Lun Bawang) dan Kelabit. SIB antara mazhab Kristian yang terbesar di Malaysia dengan anggaran keahlian seramai 500 000 orang di seluruh Malaysia. Pertubuhan ini memberi latihan kepada masyarakat tempatan untuk menjadi missionaries serta ‘Clergymen’  gereja. Di Lawas, telah ditubuhkan sebuah sekolah pengajaran Bible dan ia berfungsi sebagai pusat latihan para paderi serta terjemahan Bible ke dalam bahasa Borneo.

Ecumenism ataupun penyatuan gereja-gereja sangat popular di Sarawak. Penyatuan ini telah dilakukan pada tahun 1991. Antara mazhab yang menyertai Ecumenism adalah Anglican, Roman Katolik, Methodist, SDA, SIB dan The Salvation Army. Penyatuan gereja-gereja ini telah membentuk Sarawak Ecumenical Centre yang menjadi suatu badan yang mengatur serta menyelaraskan aktiviti missionaries di Sarawak.

Pertubuhan-pertubuhan Kristian semakin berkembang di Sarawak selepas merdeka. Kira-kira 50 pertubuhan ataupun mazhab Kristian telah ditubuhkan di Sarawak selepas merdeka. Hasil perkembangan dan usaha gigih mereka telah berjaya merubah demografi Sarawak menjadi satu-satunya negeri yang majoriti beragama Kristian.

Selain itu juga, pelbagai purtubuhan missionaries antarabangsa menjalankan aktiviti kristianisasi secara pesat di bumi Sarawak antaranya Church of Latter-Day Saint (mormon), World Church Mission (WCM), Mill Hills Society,dan banyak lagi.

Usaha mereka yang terancang ini perlu menjadi perhatian masyarakat Islam di Sarawak agar kita semua sedar akan ancaman ini kepada masyarakat Islam di Sarawak.

 

Norlia Salleh
Penganalisis IKB (Insitut Kajian Borneo)

Authors

Related posts

*

Top