Sekatan Israel Menjejaskan Pendidikan Anak Gaza

unrwa-logo-girl-with-palestinian-flag

 

unrwa-logo-girl-with-palestinian-flag

UNRWA terpaksa menutup 700 buah sekolah yang disediakan untuk anak-anak pelarian Palestin kerana sedang menghadapi krisis kewangan, ujar pegawai kanannya, kepada akhbar Perancis Le Monde.

Pengarah UNRWA, bahagian pelarian Palestin, Robert Turner memberitahu bahawa mereka sedang mengalami kesukaran untuk meneruskan khidmat pendidikan kepada rakyat Palestin terutama sekali rakyat di semenanjung Gaza, dalam keadaan pengepungan berterusan oleh kerajaan haram Israel.

“Situasi sekarang amat-amat membimbangkan, dan kami tidak mempunyai peruntukan kewangan untuk menampung keperluan kecemasan rakyat Gaza” ujar Turner. “ Bahkan, sekarang kami telah mengalami defisit yang mencecah USD100 juta”.

“Sekiranya krisis ini tidak selesai menjelang awal tahun hadapan, UNRWA tidak mempunyai apa-apa pilihan kecuali menutup 700 sekolah yang berada di bawah kelolaan kami. Dan tentulah ini akan mengakibatkan 500, 000 orang kanak-kanak di 5 daerah akan terjejas dari sudut pendidikan”.

248,000 orang kanak-kanak telah pun terjejas bila mana sejumlah 252 sekolah telah ditutup sebelum ini, dan angkanya akan dijangka melonjak tinggi setelah kesemua 700 sekolah ini ditutup.

“Situasi di Gaza sekarang semakin buruk akibat kepungan daripada kerajaan haram Israel dan penutupan pintu sempadan Rafah oleh Mesir. Situasi ini telah berlanjutan daripada musim panas yang lepas, dan masyarakat Gaza kini telah berada dalam keadaan yang amat genting”.

Bekalan air dan elektrik di Gaza juga dalam keadaan yang amat teruk selepas serangan oleh pihak Yahudi ke atas pusat janakuasa elektrik milik rakyat Gaza semasa peristiwa perang yang berlaku sebelum ini.

Mengulas tentang penduduk Gaza yang tinggal di sekolah milik UNRWA, selepas peperangan yang meletus antara Hamas dan Yahudi sebelum ini, Turner berkata: “mereka tidak mempunyai keperluan asas untuk meneruskan hidup dan mereka tidak mampu untuk meneruskan kehidupan bersosial bersama-sama masyarakat setempat”.

Penterjemah: Mohd Khairil Alias

Sumber: MEM

 

Tags ,

Related posts

*

Top