Sekuriti makanan negara: Stok makanan hanya cukup 45 hari

image (5)

image (5)

KUALA LUMPUR 21 Jun – Di sebalik tindakan rakyat Ma­­laysia membuang 3,000 tan metrik makanan setiap hari, stok bahan makanan ter­utama beras di negara ini hanya mampu mencukupi untuk tempoh 45 hari sahaja.

Kebimbangan itu disuarakan oleh Ketua Kluster Pertanian dan Ma­kanan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Ghizan Salleh yang membangkitkan persoalan apakah akan berlaku sekiranya negara dilanda situasi buruk yang panjang mengakibatkan produktiviti bahan makanan berasaskan pertanian dan ternakan tidak mam­pu dikeluarkan.

Menurut beliau, tempoh stok makanan itu amat jauh ketinggalan berbanding negara maju yang memperuntukkan kemampuan sesebuah negara untuk menyimpan bahan makanan untuk tempoh enam bulan.

“Pada masa ini, industri makanan negara kita bersedia dalam situasi biasa yang tidak ada apa-apa berlaku, tanpa ada bencana alam atau sekatan dari negara pengeksport. Namun, kita khuatir situasi itu berlaku, apa kita nak makan selepas 45 hari itu?

“Walau bagaimanapun, keada­an itu masih stabil, tetapi kestabilan itu amat rapuh kerana kita terpaksa bergantung kepada negara luar untuk mendapatkan bahan makanan, selain dikeluarkan sendiri di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menjadi ah­li panel dalam program Advo­ka­si Ilmuwan MPN bersama Utusan Malaysia dan Radio Te­levisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Universiti Putra Mala­ysia (UPM) Serdang, dekat sini hari ini.

Selain beliau, turut menjadi panel dalam diskusi ilmu siri ke-14 bertajuk Sekuriti Makanan: Sampai Bila? itu menampilkan Naib Canselor UPM, Prof. Datin Dr. Aini Ideris dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antara­bangsa) UPM, Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin, manakala Penga­cara RTM, Suhaimi Mohamed selaku moderator.

Dalam pada itu, Mad Nasir ber­kata, kadar sara diri untuk beberapa bahan makanan terpenting di negara ini masih belum mencukupi dan negara terpaksa mengimport sebanyak RM45.4 bilion.

Katanya, pada masa ini, pengeluaran beras hanya mencakupi 72 peratus, daging lembu (28 peratus), daging kambing (28 peratus) dan sayur-sayuran (33 peratus)

“Dalam pengimportan bahan makanan ini, negara mengalami defisit sebanyak RM18.1 bilion berbanding RM1.1 bilion pada tahun 1990. Jika berlaku krisis makanan seperti tahun 2008 apa akan berlaku sekiranya negara pengeluar tidak boleh mengeks­port bahan makanan itu?

“Berdasarkan kajian, jika sesebuah negara tidak cukup maka­nan dalam masa empat hari sahaja, akan berlaku huru-hara sebagaimana yang telah berlaku di beberapa negara luar,” katanya.

Menyokong pendapat sama, Aini berkata, walaupun bekalan ayam dan telur tidak berlaku kekurangan, malah lebih mencukupi, tetapi negara terpaksa bergantung 100 peratus mengimport bahan makanan untuk memberi makan seperti jagung kepada ayam-ayam itu bagi membesar.

Sumber: Utusan Malaysia

Authors

*

Top