TPPA Pasca Perbincangan di Hawaii, Pelbagai Masalah Masih Belum Selesai

134459161_14381514692441n

134459161_14381514692441n

Mengikut jangkaan, butiran akhir TPP dapat dimuktamadkan dalam pertemuan menteri-menteri perdagangan di Hawaii pada akhir Julai yang lalu. Namun sebaliknya, rundingan ini diteruskan oleh sebab beberapa halangan yang masih belum selesai. Berikut merupakan isu-isu yang menjadi kebimbangan bagi setiap negara yang terlibat :

Australia

Menteri Perdagangan Australia, Andrew Robb menekankan isu makanan (terutama barangan seperti gula dan produk tenusu), “Investor-State Dispute Settlement” atau Penyelesaian Pertelingkahan Pelabur-Negara (ISDS), dan harta intelek sebagai isu utama bagi negara tersebut.

  1. Pasaran makanan

Australia memperjuangkan untuk memperoleh akses yang lebih kepada pasaran gula AS. Dalam perjanjian dua hala FTA (2005) dengan Australia, AS mengekalkan sekatan terhadap gula dari Australia dan kini mereka masih menolak untuk membuka kembali perbincangan ini. Pada perbincangan TPP terbaru di Hawaii, Robb berkata, “Kami tidak akan menandatangani [perjanjian TPP] tanpa sesuatu untuk industri gula.”

  1. ISDS

Kebimbangan timbul daripada kes saman syarikat Philip Moris terhadap kerajaan Australia yang meminta ganti rugi disebabkan polisi Australia yang menghalang logo syarikat daripada dipamerkan pada bungkusan rokok. Menurut Robb juga, “Kami tidak akan berganjak daripada ISDS melainkan kami berpuas hati dengan pengecualian terhadap perkara yang berkaitan polisi awam untuk kesihatan dan alam sekitar.”

  1. Harta intelek

Isu timbul apabila terdapat perbezaan antara permintaan AS untuk perlindungan data farmaseutikal (12 tahun), dan tempoh yang dicadangkan negara-negara seperti Australia (5 tahun). Sebilangan negara bimbang jika tempoh perlindungan ini ditambah dan akan melambatkan pasaran ubatan generik sekaligus menyebabkan peningkatan harga ubat-ubatan.

New Zealand

Pasaran tenusu

Bagi New Zealand, akses kepada pasaran tenusu ke negara seperti AS, Kanada dan Jepun menjadi perhatian besar mereka. Menteri Perdagangan New Zealand berkata, “Perkembangan berjalan dengan baik pada minggu ini, tetapi beberapa isu besar masih berbaki, termasuk harta intelek dan akses pasaran produk tenusu.”

Sebaliknya, negara-negara lain menyatakan kerisauan atas monopoli harga murah oleh Fonterra, syarikat tenusu gergasi New Zealand yang mengeluarkan 22 billion liter susu setahun.

 

Kanada

Polisi pertanian yang tidak fleksibel

Kanada sebelum ini meletakkan sekatan demi melindungi sektor pertanian mereka. Dalam Perjanjian Dagangan Bebas antara Kanada dan AS, Kanada mengekalkan penggunaan kouta bagi mengehadkan produk tenusu yang diimport dari AS. Baru-baru ini dalam satu surat yang dikirim oleh 21 ahli Kongres kepada Gary Doer, Duta Kanada ke AS, mereka meminta akses yang lebih luas untuk produk pertanian, terutama bahan tenusu. Kerajaan Kanada walaubagaimanapun tidak memuktamadkan permintaan tersebut kerana mereka turut mempunyai kepentingan yang perlu dijaga untuk pilihanraya pada Oktober.

Jepun

Rules of Origin’ bagi kenderaan

Kebanyakan pengeluar kenderaan dari Jepun melabur di Thailand bagi memperoleh kelebihan pulangan cukai korporat, malahan usaha ini berjaya menjadikan Thailand antara pengeksport terbesar dengan anggaran 1.2 juta eksport kereta daripada keseluruhan 2.2 juta kereta yang dihasilkan pada tahun 2015. Mereka turut menjadikan Thailand yang bukan negara anggota TPP, sebagai sumber kepada aksesori kenderaan. Ini dilihat sebagai cabaran besar kepada Kanada dan Mexico yang merupakan pengeluar utama kepada pasaran kenderaan AS.

Malaysia

Hak keistimewaan bumiputera dan syarikat awam

Menteri Perdagangan Antarabangsa Malaysia, Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata, “Kerajaan telah mengambil pendirian yang jelas dalam TPP; perlembagaan kami, kedaulatan dan polisi teras seperti perolehan kerajaan, perusahaan awam dan agenda Bumiputera akan dipelihara.” Kenyataan beliau menunjukkan bahawa kerajaan akan cuba mendapatkan sokongan rakyat untuk TPP sebelum menandatangani sebarang perjanjian.

Vietnam

Sesetengah negara pula mengambil langkah untuk menangani kebimbangan dari negara-negara anggota perjanjian. Sebagai contoh, Vietnam mengambil langkah untuk lebih mematuhi piawaian buruh dalam industri tekstil. Menurut laporan, 80 peratus daripada perusahaan dalam industri ini melanggar peraturan keselamatan serta tempoh masa bekerja dan rehat. Pengamalan piawaian buruh yang lemah ini telah mendapat kritikan hebat daripada Dewan Senat dan Kongres AS dalam perbahasan mereka.

Tekanan untuk memuktamadkan perjanjian ini semakin dirasai menjelang pilihanraya AS dan Kanada. Bagi AS yang sedang giat menggerakkan usaha ‘Pivot to Asia’, pastinya tekanan lebih hebat buat mereka kerana pada masa yang sama perbincangan RCEP yang melibatkan China juga sedang berjalan. Di akhir rundingan setiap negara perlu untuk berhati-hati menimbang tara perjanjian yang memihak kepada kepentingan geopolitik mereka.

Terjemahan : Huzaifah Ibrahim
Sumber : TheDiplomat

Authors

Related posts

*

Top